PAS nekad rampas semula Dun Kota Lama

 

KOTA BHARU: PAS Kota Bharu melaksanakan pelbagai pendekatan bagi memastikan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kota Lama dapat dirampas kembali pada pilihan raya umum (PRU) ke-16.

Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, usaha ke arah itu sudah bermula sejak selesai PRU lepas bagi mengembalikan Dun terbabit ke pangkuan PAS.

Selain itu katanya PAS Kota Bharu akan terus mempertahankan parlimen Kota Bharu, Dun Tanjung Mas dan Dun Bunut Payong.

“Oleh itu setiap perancangan yang dirangka hendaklah mempunyai matlamat yang jelas, spesifik, realistik, mudah difahami serta mampu dicapai.

“Perancangan juga mesti berpandukan kepada fakta, bersifat realistik serta berasaskan maklumat yang tepat agar dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya pada majlis penutup retreat PAS Kota Bharu di sini baru-baru ini.

Turut hadir Timbalan Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Ustaz Nor Azariza Mohd Alawi; Naib Yang Dipertua, Shaari Mat Yaman dan Ketua Muslimat, Datuk Rohani Ibrahim.

Pada program terbabit Pengerusi Lajnah Pemerkasaan Parti PAS Kota Bharu, Dr Nazmi Ghazali Azmi membentang kertas kerja.

Pada PRU lepas calon Amanah Dr Hafidzah Mustaqim yang mewakili Pakatan Harapan (PH) menang di Dun Kota Lama dengan majoriti 202 undi.

Beliau memperoleh 9,691 undi menewaskan calon PAS, Datuk Sr Zamri Ismail yang memunggut 9,489 undi. Kemenangan calon PH antaranya disebabkan pengundi muda PAS dan Perikatan Nasional (PN) ramai tidak balik mengundi.

Pada PRU14 PAS melalui Datuk Anuar Tan Abdullah menang dengan majoriti 1,445 undi.

Takiyuddin yang juga ahli parlimen Kota Bharu berkata, perancangan yang dibuat jentera parti hendaklah bersifat fleksibel dan mudah disesuaikan sekiranya berlaku sebarang perubahan.

“Gerak kerja hendaklah dilaksanakan secara bersistematik dan tersusun, ditentukan dengan jelas apa yang perlu dibuat serta tempoh masa pelaksanaan,” katanya.

Beliau turut berharap semua pendukung PAS tidak berada dalam zon selesa, sebaliknya sentiasa bermuhasabah dan bergerak di bawah bimbingan pimpinan.

“Dewan Ulama perlu melakukan pendekatan luar daripada kebiasaan termasuk turun ke padang, manakala Dewan Pemuda pula mengadakan program di masjid,” kata beliau.

Post a Comment

0 Comments