KOTA BHARU:
Situasi kemanusiaan di Gaza terus berada pada tahap membimbangkan walaupun
genjatan senjata telah dimeterai.
Pengerusi NGO Suara Gaza Nazri Deraman berkata, musim sejuk yang melanda sekarang menambah penderitaan rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal dan kemudahan asas.
Katanya, musim sejuk merupakan antara tempoh paling ditakuti penduduk Gaza, khususnya bayi dan warga emas, apabila ramai dilapor meninggal dunia akibat kesejukan melampau dan ketiadaan perlindungan sesuai.
“Bantuan kemanusiaan bukan sahaja perlu diteruskan, malah wajib diperkasa bagi memastikan kelangsungan hidup saudara kita di Gaza,” ujarnya di sini.
Beliau juga menyifatkan genjatan senjata yang ditandatangani sebelum ini amat rapuh apabila Israel terus melakukan pelanggaran termasuk pembunuhan harian serta sekatan bantuan kemanusiaan ke wilayah tersebut.
Menurutnya, lebih 1,500 bangunan musnah dibom sepanjang tempoh genjatan senjata, menyebabkan kebanyakan penduduk yang pulang ke kawasan asal terpaksa tinggal di dalam khemah tanpa kemudahan asas.
“Masalah besar yang dihadapi ketika ini persepsi sebahagian masyarakat luar yang menyangka penderitaan di Gaza telah berakhir sebaik sahaja perang dihentikan.
“Sedangkan hakikatnya krisis masih berterusan dan semakin parah,” katanya.
Beliau menjelaskan keadaan tersebut memberi kesan langsung kepada keupayaan NGO dan pasukan misi di lapangan apabila sumbangan yang diterima semakin berkurangan.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai terus menyalur sumbangan bagi membantu rakyat Palestin melalui Akaun Pertubuhan R Kelantan - Bank Islam 03120010000318.
Orang ramai juga boleh mengikuti perkembangan dan laporan program bantuan melalui saluran WhatsApp Suara Gaza.




0 Comments