TUMPAT: Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan yang dilancar lapan tahun lepas bertujuan melahirkan generasi rabbani yang seimbang menguasai ilmu dunia dan akhirat.
Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan (DPRK) dilancar pada 25 Februari 2018 melibatkan sekolah-sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK).
Anggota Exco Kerajaan Negeri Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, dasar tersebut juga dapat melahirkan pelajar sebagai pimpinan di peringkat sekolah dan masyarakat.
Oleh itu katanya, bagi mengasah bakat pimpinan, pelajar perlu mematuhi disiplin yang ditetapkan sekolah dan YIK.
“Allah SWT melantik manusia sebagi khalifah di bumi dan diisytiharkan di hadapan para malaikat bertujuan untuk memastikan manusia tunduk dan patuh dengan sepenuh pengabdian.
“Begitu juga pelajar perlu mematuhi disiplin sekolah sebagai usaha mengasah bakat kepimpinan,” katanya pada majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pimpinan Pelajar di Maahad Muhammadi Pasir Pekan hari ini.
Turut hadir guru besar Maahad Muhammadi Pasir Pekan, Inspektor Norihan Yusuf dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat, guru-guru dan pelajar.
Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk melahirkan insan seimbang dunia akhirat, menggabungkan ilmu dunia dengan kefahaman Islam melalui kurikulum bersepadu.
Wan Roslan juga berkata, program penyampaian watikah pelantikan pimpinan pelajar mengingatkan pelajar setiap jawatan merupakan amanah.
“Setiap amanah pasti akan dipersoalkan. Tugas mendidik dan memimpin bukan untuk dibanggakan, tetapi untuk ditunaikan dengan penuh tanggungjawab.
“Semoga semua yang menerima amanah hari ini diberikan kekuatan, keikhlasan dan istiqamah. Semoga usaha ini menjadi saham akhirat yang berpanjangan,” tambahnya.
Sempena program berkenaan lafaz ikrar yang dipimpin ketua pelajar sebagai tanda kesediaan memikul amanah yang diberikan pihak sekolah.




0 Comments