Penduduk bimbang ternak babi berpusat dibatal sementara

 

Oleh A Rahman Harun |

KUALA LUMPUR: Penduduk mahu projek penternakan babi berpusat di Bukit Tagar Selangor dibatalkan sepenuhnya dan bukan hanya untuk sementara waktu.

Ahli Parlimen PN Hulu Selangor Mohd Hasnizan Harun berkata, lokasi tersebut merupakan kawasan tadahan air selain berhampiran kediaman dan institusi pendidikan.

Bagaimanapun katanya beliau dimaklumkan kerajaan Selangor memberitahu projek mega di kawasan seluas 500 ekar itu, hanya dibatalkan buat sementara waktu.

"Bantahan penduduk berasas kerana lokasi terbabit merupakan kawasan sumber air utama, ada empat penempatan Felda, perkampungan Orang Asli, estet dan pusat pengajian Universiti Selangor Bestari Jaya.

"Walaupun ada negara jauh lebih maju melaksanakan penternakan babi moden, namun masih berlaku pencemaran bau dan sumber air.

"Sekiranya kerajaan Selangor mahu mengenal pasti lokasi alternatif pada masa depan, buat kajian lebih menyeluruh, bukan umum dahulu kemudian minta rakyat terima,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung  Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat semalam.

Pada 10 Januari lepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dilapor murka perancangan kerajaan negeri membenarkan penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat bermula tahun ini, sebelum dipindah ke Bukit Tagar pada 2030.

Mohd Hasnizan berkata, Sultan Selangor telah menzahirkan titah agar semua perancangan penternakan babi secara besar-besar di Bukit Tagar  dihentikan.

Kata beliau langkah itu bagi memastikan kesejahteraan hidup rakyat.

"Sebarang pemilihan lokasi baharu mesti didahului dengan kajian penilaian impak alam sekitar, penilaian impak sosial dan sesi libat urus awam yang melibatkan komuniti setempat sebelum keputusan diumumkan.

"Saya juga mencadangkan lebih baik kerajaan negeri import daging babi sama seperti daging lembu kerana tidak mencukupi bekalan tempatan," katanya.


Post a Comment

0 Comments