Bekas Ketua Pemuda PAS Bachok meninggal dunia

 
Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Bachok, Ustaz Muhamad Nasir Mat Soh meninggal dunia petang semalam selepas mengalami masalah buah pinggang sejak empat tahun lepas.

Arwah juga bekas Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan, pernah berkhidmat sebagai guru di Sekolah Menengah Ugama (Arab) Tarbiah Mardiah Panchor (sekarang Maahad Tarbiah Mardiah).

Ketua Pemuda PAS Malaysia Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, Ustaz Nasir seorang guru dan murobbi yang sangat tegas serta berprinsip.

“Pidato ketika berceramah sentiasa bersemangat tegas mendidik jiwa kami semua.

“Ketika almarhum bertugas sebagai sebagai guru disiplin dan guru badan pengawas, dengar sahaja beliau lalu berjalan di tepi kelas, pelajar yang bising jadi senyap sunyi. Ketegasan almarhum sangat dihormati,” katanya kenyataan.

Afnan juga berkata, ketegasan dan kelantangan almarhum dalam gerak kerja tarbiah dan perkaderan melayakkan beliau dilantik sebagai Ketua Pemuda PAS Bachok.

“Pemergian yang sungguh mulia dalam bulan paling mulia. Semoga Allah mengampuni dan merahmati almarhum. Al-Fatihah,” ujarnya.  

Sementara itu Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, dedikasi almarhum memimpin dan membangunkan gerakan pemuda di Bachok sentiasa dikenang rakan-rakan seperjuangan.

Kata beliau juga Ustaz Nasir merupakan cucu sulung Allahyarham Tok Ayah Nor, menjadi kebanggaan kerana arwah merupakan cucu pertama yang menuntut ilmu di Mesir.

“Beliau antara anak kampung terawal yang berjaya melanjutkan pelajaran ke sana. Puluhan orang kampung mengiringinya ke lapangan terbang penuh bangga dan air mata.

“Sekembalinya dari Mesir arwah membuka kelas pengajian fekah secara percuma. Ramai penduduk kampung hadir mengaji. Ilmu yang disampaikan menjadi saham akhirat yang berterusan buat arwah,” katanya.

Solat jenazah arwah diadakan di Masjid Bandar Bachok jam 6 petang semalam. Hadir sama Adun Pantai Irama Mohd Huzaimy Che Husin, Firdaus dan pemimpin tempatan.


Post a Comment

0 Comments