Kelantan tumpu pembangunan insan, bukan sekadar fizikal – Exco Belia

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, YB Zamakhshari Muhamad

Oleh: Asri Hamat 

KOTA BHARU, 23 Februari – Kerajaan Negeri Kelantan memberi penekanan terhadap aspek pembangunan insan dalam usaha memperkasa golongan belia agar lebih bersedia menghadapi cabaran dunia moden yang serba pantas.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, YB Zamakhshari Muhamad berkata, dalam keadaan anak muda mudah terdedah kepada kekeliruan dan tekanan, agenda pembangunan tidak boleh hanya tertumpu kepada aspek fizikal serta ekonomi semata-mata.

Menurutnya, kerajaan negeri komited memastikan agenda belia dilaksanakan secara menyeluruh dan berterusan, bukan sekadar tertumpu kepada aktiviti sukan atau program bermusim.

“Di Kelantan, antara perkara yang diberi penekanan adalah aspek pembangunan insan. Kita mahu pembangunan yang melibatkan rohani, intelektual dan kepimpinan.

“Sebagai contoh, program pembangunan rohani seperti Anak Muda Tamu Ramadan, pembangunan intelektual melalui program townhall dan diskusi, selain program kepimpinan seperti Kelantan Future Leaders dan Gentera."

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Anak Muda Tamu Ramadan 1447H /2026M di sebuah hotel di sini baru-baru ini. 


Jelas beliau, Program Anak Muda Tamu Ramadan yang menjadi acara tahunan anjuran Urus Setia Belia dan Sukan (U-BES) adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri bagi memastikan agenda pembangunan insan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dalam kalangan belia.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru anak muda supaya menjadikan al-Quran sebagai panduan utama dalam membuat sebarang keputusan dalam kehidupan. 

“Jangan jadikan al-Quran sekadar teks untuk dikhatamkan terutamanya dalam bulan Ramadan, tetapi jadikannya sebagai panduan dalam membuat keputusan hidup. Insya-Allah kita akan selamat di dunia dan akhirat.

“Dalam dunia yang penuh kekeliruan, al-Quran memberi kejelasan. Dalam dunia yang penuh tekanan, al-Quran memberi ketenangan. Dalam dunia yang penuh persaingan, al-Quran memberi prinsip,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments