Oleh Intan Lestari |
KUALA LUMPUR: Pengaruh
golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) serta kandungan hiburan
melampau dalam media massa memerlukan benteng pertahanan akidah yang kukuh.
Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, pengaruh media massa didapati semakin kuat ke atas generasi (Gen Z) khususnya dalam membentuk pemikiran dan sikap mereka.
Katanya, keruntuhan institusi keluarga memberi kesan yang sangat besar kepada masyarakat dan negara.
“Kebimbangan itu lebih ketara kerana sebahagian besar Gen Z bakal menjadi pengundi pertama pada pilihan raya akan datang.
“Ini menjadikan mereka sasaran mudah kepada naratif dan propaganda pihak tertentu,” katanya ketika merasmikan Pemukiman Lajnah Pembangunan Insan dan Kerukunan Keluarga PAS Pusat (LPIKK) di pejabat Agung PAS hari ini.
Hadir sama Timbalan Pengerusi LPIKK Ustaz Shafie Ngah dan ahli-ahli jawatankuasa.
Kata beliau juga LPIKK memikul tanggungjawab yang besar kerana institusi keluarga merupakan asas utama dalam usaha melahirkan kader yang berprinsip dan berjati diri.
Menurutnya LPIKK perlu merangka dan melaksanakan program yang benar-benar menyentuh hati serta keperluan keluarga.
“LPIKK perlu merangka program yang strategik bagi memenangi hati pengundi demi memastikan kemenangan dalam pilihan raya akan datang,” ujarnya yang juga pengerusi lajnah terbabit.
Beliau juga berkata, memandangkan suasana politik semasa yang tidak menentu, kemungkinan pilihan raya umum (PRU) ke-16 akan diawalkan tanpa menunggu tamat tempoh penggal ke-15.

0 Comments