Disiplin tinggi ahli faktor ramai minat sertai PAS

 

KOTA BHARU: Biarpun PAS kekurangan dana untuk menggerakkan parti, namun pemimpin dan ahli mempunyai tahap disiplin yang tinggi sehingga menarik minat pelbagai pihak.

Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, kepatuhan kepada displin lebih memudahkan PAS mencapai matlamat dalam perjuangan.

“Ini antara punca PAS dilihat lebih profesional di mata rakyat kerana tahap pematuhan ahli dan penyokong kepada setiap keputusan parti begitu tinggi.

“Sebab itulah ramai yang berminat hendak menyertai PAS,” katanya pada perasmian penutup kursus organisasi PAS Kelantan 2026 di sini hari ini.

Sebelum itu Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Penolong Setiausaha Agung PAS Khairul Faizi Ahmad Kamil membentang kertas kerja berkaitan pindaan perlembagaan PAS serta peranan setiausaha.

Wan Roslan yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, tahap kepatuhan tinggi ahli-ahli PAS kerana mereka memahami dan menghadam perlembagaan PAS.

Kata beliau apabila setiap ahli PAS memahami berkaitan perlembagaan parti membolehkan jentera bergerak secara kosisten, seragam dan lebih kemas.

“Hasil kefahaman dan kepatuhan kepada arahan parti membolehkan setiap urusan berjalan dengan lebih lancar dan parti menjadi teratur,” katanya.

Sementara itu Takiyuddin berkata, tiga bekas Adun Perlis yang terhenti keahlian kerana melanggar disiplin parti boleh memohon semula menyertai PAS.

Katanya, mereka boleh memohon semula menyertai PAS dan apabila ada kelulusan akan mendapat nombor keahlian baharu.

Pada akhir Disember lepas tiga bekas Adun PAS iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) terhenti keahlian susulan mereka didakwa menandatangani akuan bersumpah menarik balik sokongan terhadap Mohd Shukri Ramli sebagai menteri besar.

 

 

 

Post a Comment

0 Comments