Perpaduan insani teras Kelantan, semua bangsa zuriat Adam dan Hawa - MB Kelantan

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 14 Februari – “Kita semua berasal daripada keturunan Nabi Adam dan Hawa. Apabila zuriat berkembang, lahirlah pelbagai bangsa seperti Melayu, Cina, India, Arab dan lain-lain dan kita diperintahkan untuk saling mengenali dan bekerjasama, bukan bermusuhan.”

Demikian penegasan Menteri Besar Kelantan YAB Dato Panglima Perang Ustaz Dato Mohd Nassuruddin Daud ketika menekankan bahawa kepelbagaian bangsa, bahasa dan agama dalam masyarakat majmuk adalah ketentuan Allah SWT untuk membina hubungan yang baik serta memperkukuh kerjasama sesama manusia.

Beliau berkata, perbezaan bangsa tidak boleh dijadikan asas perpecahan, sebaliknya perlu difahami sebagai asas ta‘aruf dan muafakat sosial yang membawa kepada kestabilan serta keharmonian negeri.

Menurutnya, identiti bangsa adalah ketetapan Ilahi dan tidak berubah walaupun seseorang itu memeluk Islam.

“Tidak tepat jika mengatakan orang Cina yang memeluk Islam sebagai ‘masuk Melayu’. Bangsa tidak berubah dengan perubahan agama. Islam juga melarang sikap memandang rendah terhadap mana-mana bangsa kerana ia bukan pilihan manusia,” katanya.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato Panglima Perang Ustaz Dato Mohd Nassuruddin Daud 

Beliau turut menegaskan bahawa keharmonian antara kaum di Kelantan perlu terus dipelihara dan diperkukuh supaya negeri itu kekal sebagai model perpaduan yang matang dan berteraskan nilai saling hormat. 

Kepelbagaian bahasa serta budaya pula wajar diketengahkan sebagai keunikan yang memperkayakan identiti negeri.

Mengulas contoh silang budaya, beliau menarik perhatian bahawa persembahan gendang yang dipersembahkan oleh masyarakat Melayu berasal daripada tradisi masyarakat Cina, manakala seni wayang kulit yang sinonim dengan budaya Melayu turut melibatkan masyarakat Cina sebagai tok dalang.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 500 masyarakat Tionghua dalam Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 anjuran Pusat Integriti Antara Kaum (PEKA) di bawah Portfolio Perpaduan Kaum yang berlangsung di Dewan Perniagaan Cina, di sini, malam tadi.

Pada majlis sama, sebanyak 300 warga emas kaum Tionghua menerima sumbangan yang disampaikan oleh Menteri Besar bersama isteri, Datin Panglima Perang Datin Wan Nor Hanita Wan Yaacob.


Turut menyampaikan sumbangan ialah Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhammad, Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato’ Rohani Ibrahim serta Ahli Dewan Negeri Bunut Payong Shaari Mat Yaman.


Majlis berkenaan dimeriahkan dengan persembahan tarian singa, gendang empat musim dan cabutan bertuah yang menyemarakkan suasana muhibah antara kaum.

Menteri Besar juga menegaskan, sambutan perayaan pelbagai kaum di Kelantan diraikan dalam semangat mahabbah dan kasih sayang, mencerminkan hubungan erat yang dibina merentas komuniti.

Tambahnya, walaupun komposisi kaum bukan Melayu di negeri ini adalah minoriti, kerajaan negeri komited melaksanakan dasar adil dan saksama kepada seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

“Kerajaan negeri tidak pernah menjadikan faktor jumlah sebagai alasan untuk tidak berlaku adil. Prinsip keadilan mesti dinikmati semua kaum termasuk Cina, India dan lain-lain sebagai rakyat Kelantan,” katanya.

Tegasnya, Islam menuntut keadilan sejagat dan menolak sebarang bentuk kezaliman terhadap sesiapa sahaja, sama ada terhadap diri sendiri mahupun orang lain.

Post a Comment

0 Comments