Oleh: Norzana Razaly
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA BHARU, 8 Februari — Perpustakaan ialah institusi dakwah ilmu yang berperanan menyemai nilai, membina akhlak serta membentuk pemikiran masyarakat, bukan sekadar pusat pinjaman bahan bacaan.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata fungsi perpustakaan kini semakin strategik sebagai wahana pembangunan modal insan dan pengukuhan nilai masyarakat berteraskan ilmu.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Terbuka Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan (PPAK) di pekarangan PPAK, di sini, hari ini.
Menurutnya, tema Jom Ke Perpustakaan “Perpustakaan Di Hatiku” membawa pengertian bahawa perpustakaan perlu didekatkan dengan masyarakat sebagai ruang yang mesra, terbuka, selamat dan bermanfaat kepada semua lapisan umur.
“Perpustakaan yang diimarahkan mampu melahirkan masyarakat yang cintakan ilmu, berfikiran kritis dan matang serta berpegang teguh kepada nilai Islam,” katanya.
Beliau turut merujuk maksud Surah az-Zumar ayat 9 yang menegaskan kelebihan golongan berilmu berbanding yang tidak mengetahui, sekali gus menunjukkan kepentingan institusi ilmu dalam membentuk masyarakat sejahtera, berdaya saing dan berakhlak mulia.
Menurutnya, PPAK kini mengendalikan rangkaian perpustakaan awam dan desa di seluruh Kelantan dengan akses kepada ratusan ribu bahan bacaan merangkumi pelbagai bidang termasuk rujukan akademik, bahan kanak-kanak, keagamaan dan sumber digital.
"Setakat ini, PPAK menyediakan lebih 425,000 naskhah bahan bacaan fizikal untuk kegunaan orang ramai.
“Pendigitalan ilmu turut diperkasa melalui portal u-Pustaka yang menawarkan lebih satu juta judul koleksi digital seperti e-buku, e-majalah, e-surat khabar, buku audio dan e-jurnal, selain menyediakan 22 pangkalan data digital untuk capaian umum.
“Ini membuktikan perpustakaan hari ini berkembang sebagai hab ilmu digital yang menyokong pembelajaran sepanjang hayat,” katanya.
Tambahnya, statistik pengunjung, rekod pinjaman dan penganjuran aktiviti oleh PPAK serta perpustakaan cawangan menunjukkan trend peningkatan yang positif, sekali gus mencerminkan penerimaan masyarakat terhadap budaya membaca walaupun berdepan perubahan gaya hidup digital.
Dalam aspek pembangunan keluarga dan generasi muda, PPAK melaksanakan pelbagai program galakan membaca termasuk Program Anugerah Kelantan Membaca yang sebelum ini dikenali sebagai Program Keluargaku Keluarga Membaca, bagi memupuk tabiat membaca bermula dari institusi keluarga.
YB Zamakhshari juga memaklumkan bahawa inisiatif berkenaan selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk melahirkan generasi berilmu, beradab dan berakhlak, seterusnya membentuk masyarakat madani berteraskan nilai Islam.
"Program Hari Terbuka yang diadakan turut menampilkan pendekatan inklusif melalui penglibatan pelbagai rakan strategik dan agensi merangkumi sektor pendidikan, kesihatan, kebajikan, kewangan dan perkhidmatan awam, sekali gus memperkukuh peranan perpustakaan sebagai pusat komuniti setempat.
"Perpustakaan kini berfungsi sebagai hab komuniti dan ilmu yang holistik, inklusif serta responsif terhadap keperluan semasa, sekali gus menjadi platform penting pembinaan masyarakat berilmu, berdaya tahan dan berintegriti,” ujarnya.


0 Comments