Menteri berselindung di sebalik Pilihan Raya Datuk Bandar

 

Oleh Salmah Mat Husain |

KUALA LUMPUR: Kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh berkaitan ‘kajian kebolehlaksanaan’ Pilihan Raya Datuk Bandar sebagai cubaan mengaburi isu sebenar yang sudah lama diperdebat.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohd Hafez Sabri berkata, kajian tersebut hanya sebagai pintu masuk untuk menghidupkan semula agenda pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang telah lama diperjuangkan DAP.

Sedangkan katanya pilihan raya tersebut ditolak rakyat demi menjaga kestabilan dan keharmonian masyarakat majmuk.

“Dewan Pemuda PAS Malaysia menolak sebarang cadangan pelaksanaan pilihan raya (PBT) termasuk yang kini dijenamakan semula sebagai Pilihan Raya Datuk Bandar.

“Menteri tidak seharusnya berselindung di sebalik istilah kajian untuk menghalalkan agenda politik yang hala tuju dan niatnya sudah jelas,” katanya pada kenyataan media hari ini.

Baru-baru ini Hannah pada kenyataan dilapor memberitahu kajian sedang dijalankan bagi pelaksanaan pilihan raya PBT di ibu kota.

Menurutnya kajian itu dilakukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan bukan dilakukan DAP.

Mohd Hafez berkata, isu utama bukan soal takut kepada kajian, sebaliknya persoalan asas mengenai keperluan kajian tersebut sedangkan cadangan pilihan raya PBT sudah lama ditolak.

Kata beliau pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri sudah mencukupi bagi mewakili suara rakyat serta memastikan prinsip kebertanggungjawaban kerajaan terus terpelihara.

“Negara ini tidak memerlukan pilihan raya di peringkat kerajaan tempatan kerana ia berpotensi mencetuskan ketegangan serta menggugat keharmonian nasional,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan Pemuda PAS Malaysia menolak pilihan raya PBT dalam apa jua bentuk versi, penjenamaan atau justifikasi sekalipun.

Beliau turut menasihatkan pimpinan DAP tidak mempertaruhkan kestabilan dan keharmonian negara demi memenuhi agenda politik sempit.

“Jika amaran ini dipandang ringan, jangan terkejut apabila berdepan dengan kebangkitan dan kemarahan rakyat Malaysia,” katanya.

Post a Comment

0 Comments