KOTA BHARU:
Permodalan Kelantan Berhad (PKB) menyumbang peralatan tempat rehat bernilai
RM23,000 kepada Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ
II) bagi kegunaan pelawat di Laman Santai hospital berkenaan.
Sumbangan tersebut melibatkan sebuah buaian wakaf, empat set kerusi batu serta dua set kerusi berangkai bagi memberi keselesaan pelawat dan ahli keluarga pesakit.
Sebelum ini PKB yang juga syarikat kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) menyumbang kerusi untuk kegunaan penumpang di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP).
Ketua Pegawai Eksekutif PKINK, Datuk Sr Zamri Ismail berkata, usaha itu sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) PKB.
Katanya, PKB menyumbang kemudahan untuk pelawat di Laman Santai HRPZ II bagi menyediakan ruang rehat kepada pelawat serta keluarga pesakit.
“Sumbangan tersebut mencerminkan PKB sedia berkongsi keuntungan dengan masyarakat, di samping membantu hospital meningkatkan tahap keselesaan pelawat,” katanya ketika berucap merasmikan Laman Santai HRPZ II baru-baru ini.
Turut hadir, Pengurus Besar PKB, Hassan Shukri Hussein dan Pengarah HRPZ II, Dr Izamin Idris
Sementara itu Dr Izamin berkata, inisiatif tersebut sangat dihargai dalam usaha meningkatkan keselesaan keluarga pesakit dan pelawat, di samping mewujudkan persekitaran lebih kondusif.
Katanya kemudahan yang disumbang memberi nilai tambah kepada kesejahteraan emosi pelawat ketika menunggu ahli keluarga mereka menerima rawatan di wad.



0 Comments