![]() |
| Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud |
KOTA BHARU, 4 Februari — Penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran secara tahunan oleh Kerajaan Negeri Kelantan menjadi platform penting bagi menyuburkan penghayatan Al-Quran dalam jiwa masyarakat, selain mencungkil bakat baharu dalam kalangan anak negeri.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata penganjuran majlis berkenaan bukan sekadar menilai keindahan bacaan dan kekuatan hafazan, sebaliknya bertujuan melahirkan generasi yang memahami serta menghayati isi kandungan Al-Quran untuk diterjemahkan dalam kehidupan seharian.
Beliau berkata, usaha penganjur menambah baik perjalanan majlis termasuk memperkenalkan slot renungan ayat-ayat Al-Quran amat penting bagi membantu masyarakat menghayati mesej ayat yang dibaca oleh qari dan qariah.
“Pendekatan ini membolehkan ayat Al-Quran yang dibaca dengan bertarannum difahami dan dihayati oleh pendengar, sama ada yang hadir secara fizikal mahupun mengikuti secara maya, seterusnya diamalkan dalam tindakan dan cara hidup mereka."
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Kelantan 1447H/2026M di Dewan Utama Tengku Kaya Pahlawan, Kompleks Islam Jubli Perak, Panji, di sini malam tadi.
Sementara itu, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud pula berkata, penganjuran majlis berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memartabatkan keagungan Al-Quran serta melahirkan generasi pelapis yang menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup.
![]() |
| Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud |
Menurutnya, Kelantan terus melahirkan qari dan qariah yang cemerlang sehingga ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Kerajaan negeri sentiasa berusaha melahirkan golongan pelapis yang cintakan Al-Quran dan sentiasa berdamping dengannya. Kita berdoa agar lebih ramai pakar dalam bidang tarannum dan hafazan Al-Quran dapat dilahirkan di negeri ini,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa penubuhan Pusat Tarannum Al-Quran Negeri Kelantan yang diurusetiakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) bermula 29 Jun 2024, kini disokong lima tenaga pengajar berkaliber termasuk tenaga pengajar antarabangsa, Syeikh Hisham Abdul Bari Mohamad Al-Rajih.
Tenaga pengajar lain ialah Dato’ Hajjah Faridah Mat Saman, Ustaz Che Yahya Daud, Ustaz Mohd Husin Yunus dan Ustaz Abdul Bari Abdullah.
“Kita berharap hasil didikan dan tarbiah dari tenaga pengajar yang hebat dan berkaliber di pusat ini mampu melahirkan johan tilawah peringkat kebangsaan dan antarabangsa, seperti kejayaan terakhir Kelantan pada 2023 menerusi Qayyum Nizar Sarimi,” katanya.
Untuk rekod, sejak 1961, Kelantan telah melahirkan sebanyak 17 johan qari dan qariah di peringkat antarabangsa, dengan johan pertama ialah Ustaz Ahmad Ma’som Pergau pada 1961.
Sebanyak 64 peserta mengambil bahagian dalam majlis kali ini, membabitkan 16 peserta tilawah dan 48 peserta hafazan.
Majlis turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan YBM Dato’ Kaya Perkasa Dato’ Dr Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feissal, Penasihat Undang-Undang Negeri YB Dato’ Idham Abdul Ghani, Timbalan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri YB Nik Bahrum Nik Abdullah, Ketua Hakim Syarie Kelantan YAA Dato’ Ibrahim Deris, Timbalan Mufti Kelantan YB Sahibul Fadhilah Dato’ Bijisura Nik Abdul Kadir Mohamad serta Pengarah JAHEAIK Dr Hasnan Ramli.




0 Comments