Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 4 Februari – Kerajaan Negeri Kelantan menerima kunjungan hormat daripada Urus setia Wanita Terengganu (USWA) yang diketuai oleh Pengarah USWA Tuan Roslina Tuan Sulaiman sebagai usaha memperkasa agenda pembangunan wanita melalui perkongsian pengalaman dan pertukaran pandangan antara kedua-dua pihak.
Sesi kunjung hormat tersebut telah berlangsung pada 28 Januari bertempat di Mabna, Kompleks Kota Darulnaim.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato’ Rohani Ibrahim berkata, pertemuan itu menjadi ruang bermakna untuk membincangkan beberapa perkara penting berkait pembangunan wanita merangkumi aspek keluarga, sosial dan kemasyarakatan.
Menurutnya, sesi kunjung hormat itu turut diisi dengan pembentangan daripada kedua-dua pihak apabila delegasi Terengganu membentangkan pelaksanaan serta inisiatif program di bawah USWA, manakala pihak Kelantan pula berkongsi pelbagai program yang dilaksanakan menerusi Urus setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa).
“Alhamdulillah, sesi perkongsian ini membuka peluang untuk saling bertukar pengalaman, pandangan dan amalan terbaik dalam memperkasa dasar serta pendekatan pembangunan wanita yang lebih menyeluruh dan berkesan,” katanya menerusi kenyataan di laman rasmi pada Jumaat.
Beliau turut berharap agar pertemuan berkenaan menjadi titik tolak kepada kerjasama berterusan antara Kelantan dan Terengganu, berlandaskan nilai ilmu, hikmah dan maslahat ummah.
Tambahnya, usaha bersama itu diharap mampu memartabatkan wanita sebagai tonggak utama keluarga dan masyarakat, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan ummah secara keseluruhan.



0 Comments