Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 31 Mac – Kehadiran pelbagai lapisan masyarakat, kaum serta latar belakang politik ke Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Negeri (DUN) Demit, membuktikan semangat perpaduan dan kesepakatan yang utuh dalam kalangan rakyat, khususnya di negeri ini.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Demit yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan YB Mohd Asri Mat Daud berkata, penganjuran majlis berkenaan menjadi platform penting dalam menyatukan masyarakat tanpa mengira perbezaan bangsa, agama dan fahaman politik.
Menurutnya, meskipun rakyat datang daripada latar belakang yang berbeza, mereka tetap merupakan sebuah keluarga besar yang perlu sentiasa bekerjasama dan saling membantu dalam kehidupan seharian.
![]() |
| Ahli Dewan Negeri (ADN) Demit, YB Mohd Asri Mat Daud |
“Kita semua walaupun daripada pelbagai latar belakang dan kaum, hakikatnya adalah satu keluarga. Kita mesti sepakat, saling bantu-membantu dan tolong-menolong dalam kehidupan harian,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan yang diadakan di perkarangan Pasar Tok Kenali, Binjai di sini, pada Ahad.
Beliau turut menzahirkan rasa syukur apabila ramai wakil serta ahli daripada pelbagai parti politik, termasuk parti komponen lain, hadir memeriahkan majlis tersebut.
“Alhamdulillah, ramai rakan daripada pelbagai parti politik hadir pada malam ini. Terima kasih kerana bersama-sama menghidupkan suasana dan mengukuhkan kesepakatan antara kita,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa perbezaan pandangan dalam kalangan masyarakat adalah lumrah, namun ia tidak seharusnya menjadi punca perpecahan.
Beliau mengibaratkan hubungan masyarakat seperti sebuah keluarga yang adakalanya berdepan perselisihan kecil, namun tetap kekal bersatu.
“Seperti dalam sebuah rumah tangga, mungkin ada sedikit perselisihan, tetapi tidak bermakna kita meruntuhkan rumah tersebut. Kita tetap tinggal bersama, makan bersama dan meneruskan kehidupan sebagai satu keluarga,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar terus memperkukuh perpaduan dan menjadikan sambutan Aidilfitri sebagai wadah untuk saling bermaafan serta merapatkan hubungan silaturahim.
“Semoga majlis ini menjadi medan penyatuan untuk kita semua, saling bermaafan dan terus bertegur sapa serta membantu antara satu sama lain,” katanya.





0 Comments