KOTA BHARU: Bekas pelakon tambahan filem dan drama Melayu pada era 1980-an, Abdullah Ismail, 70 kini terlantar di rumah tumpangan orang tua milik persendirian dekat sini.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Aby Abdullah pernah membintangi filem Rentak Desa bersama aktor terkenal Eman Manan. Selain itu filem Ego.
Turut terbabit sebagai pelakon drama Fitrah Kasih. Aby juga sebelum ini bergiat aktif dalam Persatuan Penulis Kelantan dan sering menyertai aktiviti dianjurkan persatuan terbabit.
Beliau terlantar di rumah tumpangan orang tua di Jalan Tok Guru sejak September lepas selepas keluar daripada wad di Hospital Raja Perempuan Zainab II akibat masalah lutut.
Aby mendapat rawatan di hospital terbabit selama sebulan selepas rebah di rumah sewanya di Kok Lanas. Sebelum itu pernah mendapat rawatan di Hospital Machang.
Beliau masih tidak dapat berjalan dengan sempurna dan terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak untuk ke tandas di rumah tumpangan tersebut.
Disebabkan anak tunggalnya bertugas sebagai guru di luar Kelantan, Aby ditempatkan sementara di rumah tumpangan orang tua milik persendirian.
Bagaimanapun lebih RM1,000 diperlukan setiap bulan bagi menampung kos makan, minum dan penginapan di rumah tumpangan terbabit.
Aby juga memberitahu pernah memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menampung keperluan hariannya selepas tidak dapat lagi bekerja.
“Adik saya yang tinggal di Kota Bharu ada sekali sekala datang menjengok bagi menghantar makanan dan keperluan lain.
“Saya juga pernah memohon untuk tinggal di rumah Sri Kenangan, Pengkalan Chepa di bawah JKM, namun tidak dapat. Jadi buat sementara saya terpaksa menumpang di rumah tumpangan milik persendirian,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Biarpun tidak menghasilkan karya kreatif, namun minat Aby dalam bidang sastera dan budaya begitu mendalam sejak muda lagi.
Beliau turut menyimpan banyak koleksi majalah lama termasuk Sarina, Pengasuh, Saripati, Dian dan pelbagai jenis buku sejarah termasuk terbitan Indonesia.
“Disebabkan saya sering berpindah rumah sewa banyak majalah lama dan buku rosak dan punah. Ada yang ditenggelami banjir. Malah juga kawan-kawan pinjam, namun tidak dihantar kembali.
“Saya amat sayang koleksi lama kerana menyimpan pelbagai sejarah dan maklumat perkembangan tanah air yang berlaku di era 1950-an sehingga 1980-an,” katanya.
Oleh itu rakan-rakan penulis dan aktivis budaya yang pernah mengenalinya boleh menghubunginya di talian 011 2063 6055 untuk bertanya khabar atau menghulur sedikit sumbangan.


0 Comments