PUTRA desak usir Duta Besar Amerika Syarikat

 

KUALA LUMPUR: Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) mendesak kerajaan Malaysia mengusir Duta Besar Amerika Syarikat dalam tempoh 24 jam kerana kenyataan biadab dibuat Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Pete Hegseth.

Presiden PUTRA Dato’ Dr Ibrahim Ali mengecam keras serta mengutuk kenyataan tersebut yang dianggap penuh dengan penghinaan dan Islamofobia.

Katanya, kenyataan itu jelas merupakan satu penghinaan terhadap 1.9 bilion umat Islam di seluruh dunia, termasuk Malaysia.

“Ia bukan sahaja mencetuskan kebencian, malah mengancam hubungan diplomatik serta keselamatan antarabangsa.

“PUTRA menegaskan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara Islam tidak boleh berdiam diri,” katanya pada kenyataan hari ini.

Pada sidang media di Pentagon Pete Hegseth dilapor menyebut “Whether Sunni or Shia, Our Enemy is Islam, we are not at war with a country, we are at war with a belief system…”.

Oleh itu, Ibrahim mendesak Kerajaan Malaysia melalui Wisma Putra segera mengusir Duta Besar Amerika Syarikat di Kuala Lumpur dalam tempoh 24 jam sebagai tanda bantahan keras.

Selain itu kerajaan hendaklah mengeluarkan kenyataan rasmi menolak retorik Islam sebagai musuh dunia.

“Menggerakkan solidariti bersama negara-negara Islam lain dalam mempertahankan maruah umat. Tiada ruang untuk tolak ansur terhadap kenyataan sebegini.

“Tindakan tegas adalah perlu demi menjaga maruah negara, umat Islam dan prinsip keadilan sejagat,” katanya.

 

Post a Comment

0 Comments