GUA MUSANG: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menjelaskan masalah bekalan air di RKT Kesedar Renok Baru A Jumaat lalu disebabkan gangguan bekalan elektrik di Loji Rawatan Air (LRA) Limau Kasturi.
Gangguan elektrik berlaku selama empat jam pada Jumaat dan sekali lagi Ahad selama lima jam.
Jabatan Korporat AKSB berkata, hampir 300 akaun pengguna terjejas akibat gangguan tersebut yang memberi kesan langsung terhadap pengoperasian di LRA Limau Kasturi.
Katanya, operasi serta pengeluaran air terhenti sepanjang tempoh gangguan tersebut berlaku.
“Proses pemulihan bekalan air memerlukan masa untuk kembali seperti sediakala memandangkan gangguan berlaku dua kali dalam tempoh 48 jam.
“Pihak kami memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku dan pengguna boleh menghubungi talian PINTAS di 15777 untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya pada kenyataan.
AKSB turut menasihatkan pengguna menyediakan tangki simpanan di rumah sebagai langkah persediaan menghadapi gangguan kecemasan dan tidak berjadual.

0 Comments