KOTA BHARU: Maahad Sains Tok Guru membuktikan gabungan ilmu aqli dan naqli serta keseimbangan antara turath dan teknologi menjadi asas penting dalam usaha melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, Maahad Sains Tok Guru mempunyai nilai sejarah yang besar.
Katanya, idea penubuhannya dicetus Almarhum Tuan Guru Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Katanya, gagasan tersebut mencerminkan pandangan jauh seorang pemimpin yang menitikberatkan pembangunan pendidikan berteraskan ilmu, iman dan akhlak.
“Ia selaras dengan hasrat untuk melahirkan generasi Muslim yang cemerlang di dunia dan akhirat,” katanya pada majlis Sambutan Satu Dekad Maahad Sains Tok Guru di sini hari ini.
Perasmian disempurnakan Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Dato’ Sri Amar Diraja Mohd Amar Abdullah; Yang Dipertua PIBG MSTG Dato’ Dr Izani Husin dan Pengarah Yayasan Islam Kelantan Shamsul Abu Bakar.
Sempena program itu turut diadakan penyampaian sebuah van daripada JRM Holistik kepada MSTG.
Maahad Sains Tok Guru terletak di Pengkalan Chepa merupakan sekolah berasrama penuh mengintegrasikan tahfiz (5 juzuk), sains tulen dan pengajian turath.
Mulai beroperasi pada Januari 2017, dibina dengan kos RM13 juta bagi melahirkan generasi berilmu dan berjati diri.
Kerajaan Kelantan berhasrat melahirkan golongan profesional yang hufaz dan alim dalam ilmu agama.
Wan Roslan juga berkata, sepuluh tahun bukan sekadar tempoh masa, sebaliknya mencerminkan suatu perjalanan penuh kesungguhan dalam membina institusi yang cemerlang akademik dan kukuh pembinaan insan.
“Sesungguhnya, pendidikan bukan hanya untuk lulus peperiksaan, tetapi untuk membentuk manusia yang memahami tanggungjawab terhadap agama, masyarakat dan masa depan ummah.
“Semoga usaha yang dibina terus diperkukuh bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang, bahkan mampu memimpin masa depan dengan ilmu, iman dan hikmah,” ujarnya.





0 Comments