KOTA BHARU: Kenyataan
seorang menteri Singapura yang didakwa menuduh Iran dan sekutunya terlibat
dalam aktiviti keganasan serta membayangkan kemungkinan kewujudan ‘operatif
Hamas’ di negara jiran dianggap cuba menimbulkan motif tertentu.
Setiausaha Agung PAS Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, konflik di Timur Tengah cuba digambarkan seolah-olah selari dengan naratif geopolitik tertentu.
Katanya kehadiran militan asing di Asia Tenggara, menimbulkan persoalan terhadap motif dan kewajaran kenyataan tersebut.
Menurutnya dakwaan yang dibuat secara terbuka tanpa bukti jelas dianggap tidak sensitif serta boleh menimbulkan syak wasangka terhadap negara-negara jiran yang selama ini mempunyai kerangka kukuh memerangi keganasan.
"Negara-negara Asia Tenggara ada keupayaan menangani ekstremisme melalui perkongsian risikan dan mekanisme keselamatan yang terselaras.
“Cadangan terbuka bahawa operatif militan asing mungkin berada di negara jiran berisiko menjejaskan rekod tersebut serta meningkatkan ketegangan serantau,” katanya pada kenyataan semalam.
Sebelum ini media melapor Menteri Ehwal Dalam Negeri Singapura, K Shanmugam mendakwa Iran serta proksinya terlibat dalam aktiviti keganasan.
Takiyuddin berkata, semua pihak perlu lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan berkaitan keselamatan awam, khususnya yang mempunyai implikasi terhadap hubungan serantau.
“Persediaan keselamatan adalah penting, namun ia perlu disertai dengan komunikasi yang bertanggungjawab, memelihara kepercayaan, mengelakkan spekulasi dan menjamin kestabilan serantau,” katanya.


0 Comments