JELI: PAS Jeli kehilangan seorang aktivis yang gigih berjuang bersama Dewan Muslimat PAS kawasan berkenaan sejak berpuluh tahun lalu.
Timbalan Ketua Muslimat PAS Jeli, Ramlah Samat, 64 meninggal dunia di Hospital Tanah Merah petang semalam selepas lama menderita penyakit diabetes, buah pinggang dan darah tinggi.
Arwah juga merupakan Penghulu Tanpa Mukim Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Balah sejak 30 tahun lepas.
Arwah juga seorang armalah selepas suaminya meninggal dunia lebih 10 tahun lepas. Arwah tinggal bersama seorang anak tiri.
Setiausaha PAS Dun Kuala Balah Ustaz Abdul Rahim Muhamad berkata, arwah sebelum ini mengetuai Dewan Muslimat PAS Jeli, namun tahun lepas melepaskan jawatan itu kerana masalah kesihatan.
Bagaimanapun katanya, arwah dilantik sebagai Timbalan Ketua Muslimat Jeli memandangkan kepemimpinan masih diperlukan biarpun keadaan kesihatannya agak merosot.
“Arwah juga seorang muslimat yang aktif dalam masyarakat terutamanya di Dun Kuala Balah dan sering menjadi rujukan penduduk tempatan,” katanya di sini.
Sementara itu Yang Dipertua PAS Jeli Dato’ Sr Haji Apandi Mohammad berkata, ketiadaan arwah Ramlah merupakan kehilangan besar kepada PAS Jeli.
Adun Kuala Balah, Dato’ Abdul Hadi Awang Kechil menyifatkan arwah seorang yang disegani penduduk tempatan kerana sentiasa cakna terhadap masalah penduduk.
“Kami mendoakan semoga rohnya ditempatkan bersama orang yang soleh, diampuni segala dosanya,” katanya.
Solat ke atas jenazahnya akan diadakan di Masjid An-Nur, Mukim Gunung Reng selepas Zohor hari ini dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Gunung Reng. - Al Fatihah



.jpg)


0 Comments