Pelajar terbabit kebakaran asrama dibantu kerajaan

 
Oleh Salmah Mat Husain |

BACHOK: Kerajaan negeri melalui Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) menyampaikan sumbangan sebanyak RM28,250 kepada pelajar yang terbabit dengan kebakaran asrama di Sekolah Menengah Ugama (SMU)(Arab) Darul Ulum Muhammadiah.

Selain itu Yayasan Islam Kelantan menghulur sumbangan sebanyak RM10,000 kepada pelajar yang terbabit dengan kejadian tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, sumbangan itu diharap dapat membantu anak-anak meneruskan pembelajaran.

“Semoga para pelajar dan keluarga diberikan kekuatan, kesabaran serta digantikan dengan yang lebih baik.

“Terima kasih kepada semua pihak yang bersama menghulurkan bantuan. Semoga segala usaha ini menjadi amal kebajikan yang diberkati,” katanya selepas melawat lokasi kejadian hari ini.

Turut hadir Pengarah Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK) Shamsul Abu Bakar, pegawai kanan YIK, wakil YAKIN dan Jabatan Pendidikan Negeri.

Media sebelum ini melaporkan tiga blok bangunan SMU (Arab) Darul Ulum Muhammadiah terbakar Ahad lepas melibatkan struktur kekal, di mana satu daripadanya musnah hampir sepenuhnya.

Sekolah itu mulai beroperasi pada 1990 mempunyai seramai 251 pelajar, termasuk 112 daripadanya tinggal di asrama.

Semalam Timbalan Menteri Besar Dato’Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, YAKIN menyalurkan sumbangan kebajikan sebanyak RM250 kepada setiap pelajar yang terjejas dalam kebakaran asrama.

Katanya, sumbangan terbabit bertujuan meringankan beban pelajar selain membantu memenuhi keperluan segera mereka.

“Kejadian itu tidak membabitkan sebarang kehilangan nyawa atau kecederaan serius,” katanya pada kenyataan semalam.


 

 

Post a Comment

0 Comments