Oleh Salmah Mat Husain |
KOTA BHARU: Pembangunan
Bandar Baru Tunjong melalui Rancangan Kawasan Khas 2035 menjadi asas penting
kepada pertumbuhan kawasan itu sebagai hab ekonomi dan pentadbiran baharu
negeri.
Timbalan Menteri Besar Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, konsep ‘Smart Islamic City’ menggabungkan kemajuan teknologi dengan nilai Islam bagi mewujudkan bandar yang seimbang dari segi ekonomi, sosial dan spiritual.
“Kehadiran pelbagai agensi kerajaan serta projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka memperkukuh kedudukan Tunjong sebagai pintu masuk baru,” katanya ketika merasmikan pembukaan cawangan Ahmad’s Fried Chicken di Bandar Baru Tunjong semalam.
Menurutnya juga kerajaan negeri sentiasa memberi kerjasama mana-mana pihak merancakkan pembangunan ekonomi termasuk menyokong pelaburan perniagaan yang memberi manfaat kepada rakyat.
Kata beliau kerajaan negeri komited menyediakan persekitaran mesra perniagaan termasuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Kerajaan negeri memastikan setiap pembangunan dan pelaburan memberi manfaat terus kepada rakyat, khususnya dari sudut peluang pekerjaan dan penglibatan usahawan tempatan,” katanya.
Sementara itu cawangan Ahmad’s Fried Chicken di Bandar Baru Tunjong merupakan yang pertama di Kelantan.
Jenama terbabit milik penuh Bumiputera Muslim di bawah syarikat Ahmads Fast Food Sdn Bhd. Syarikat itu diasas Mohd Taufik Khairuddin bersama isterinya Lailatul Sarahjanna Mohd Ismail.
Perniagaan tersebut bermula dengan konsep wagon di Senawang sebelum membuka restoran fizikal pertama di Sungai Besar, Selangor. Kini memiliki 30 cawangan di seluruh negara dalam tempoh tujuh bulan pertama.
Syarikat berkenaan turut memperkenalkan inovasi sistem ‘Ahmads OS’ berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang kini di peringkat akhir pembangunan bagi meningkatkan kecekapan operasi.
Selain itu, komitmen terhadap Menu Rahmah diteruskan dengan menawarkan ayam goreng pada harga RM4.99 serta memperkenalkan menu baharu Mad Long Sausage Classic pada harga sama.



0 Comments