1,000 ekar sesuai ditanam harumanis di Kandis

Oleh Salmah Mat Husain |

BACHOK: Harumanis keluaran Kelantan, Harumanis Al Falah kini semakin mendapat perhatian orang ramai dan dianggap mampu menandingi harumanis dari Perlis.

Tanaman harumanis mula ditanam secara komersial sejak beberapa tahun lalu, kini mengeluarkan hasil. Ada buah mencapai berat hampir satu kilogram dan harga jualan mencecah RM30 hingga RM40 sekilogram bagi gred premium.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Dato’ Tuan Mohd Saripuddin Tuan Ismail berkata, harumanis Al Falah pernah menyertai pertandingan di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) dan berjaya memperoleh pengiktirafan.

Katanya, pengiktirafan itu membuktikan kualitinya mampu bersaing di pasaran negara ini.

“Sehingga sekarang lebih 3,000 pokok harumanis ditanam di sekitar Melawi melibatkan lebih 30 pengusaha di bawah pemantauan Jabatan Pertanian.

“Kita dapati harumanis Al Falah mampu memberi hasil yang lumayan kepada petani dan pengusaha,” katanya pada program jualan harumanis di Kampung Kuala Rekang, Melawi dekat sini kelmarin.

Hadir sama pada lawatan itu anggota Exco Kerajaan Negeri, Hilmi Abdullah; Adun Pantai Irama, Mohd Huzaimy Che Husain; Adun Gaal, Ustaz Mohd Rodzi Jaafar; Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi dan Pengarah Jabatan Pertanian Kelantan, Norbahani Zakaria.

Program Komuniti Tanaman Mangga Harumanis Al Falah tersebut melibatkan komuniti Mukim Kuala Rekang, Melawi. Program itu disertai 10 peserta terdiri daripada lima penanam sedia ada dan lima peserta baharu.

Setiap peserta menerima bantuan input pertanian termasuk mencuci kawasan, 100 benih harumanis, pam air serta sistem pengairan.

Tuan Mohd Saripuddin berkata, tahun ini merupakan tahun ketiga tuaian hasil harumanis Al Falah.

“Sebelum ini peserta dibawa ke Perlis untuk mengikuti kursus serta lawatan teknikal ke ladang contoh harumanis di bawah Jabatan Pertanian Perlis.

“Tanaman harumanis berpotensi menjadi tanaman alternatif bagi menggantikan tembakau khususnya di kawasan Bachok,” ujarnya.

Sebahagian pokok yang ditanam mulai mengeluarkan hasil selepas berusia antara enam hingga tujuh tahun. Pada muslim lepas harumanis mendapat permintaan tinggi dan dijual pada kadar harga berpatutuan.

Beliau juga berkata, peserta dipilih perlu benar-benar serius dan diwajibkan mengikuti kursus serta menyediakan tapak penanaman terlebih dahulu sebelum diberi bantuan benih dan peralatan.

Katanya, kerajaan negeri bercadang menambah 20 peserta baharu tahun ini, di mana setiap peserta akan menerima kira-kira 100 anak benih harumanis.

Kata beliau juga Melawi mempunyai potensi besar untuk dijadikan zon tanaman harumanis memandangkan sebahagian besar lokasi tersebut merupakan bekas kawasan tanaman tembakau.

“Kalau dianggar keluasan kawasan pertanian di sini melebihi 1,000 ekar dan memang berpotensi untuk diperluaskan lagi tanaman harumanis.

“Selain Bachok, tanaman harumanis turut diusahakan di Pasir Mas dan Pasir Puteh, namun kawasan Melawi dilihat paling menonjol kerana faktor cuaca panas yang sesuai,” katanya.  


Post a Comment

0 Comments