Oleh A Rahman Haron |
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan berusaha memastikan projek pembangunan kilang makanan haiwan ternakan menjadi kenyataan bagi merancakkan lagi industri makanan haiwan tempatan.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, lima agensi kerajaan akan bekerjasama bagi menjayakan hasrat tersebut.
Antaranya Unit Perancang EKonomi Negeri (UPEN), Pejabat Tanah dan Galian, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (PKPB) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).
Katanya, pendekatan strategik dilaksana bagi menyelaras prestasi dan pelaksanaan projek tersebut menerusi pendekatan 'Whole of Goverment' (WoG).
"Perbincangan ke arah memperkukuhkan rantaian bekalan industri ternakan, inisiatif ini penting bagi memastikan bekalan makanan ternakan lebih stabil, berkualiti dan mampu mengurangkan kos.
"Projek terbabit masih di peringkat perbincangan, namun harapan besar agar ia menjadi pemangkin peningkatan produktiviti sektor ternakan sekaligus mengangkat ekonomi agro ke tahap lebih mampan," katanya di sini.
Semalam beliau mempengerusikan mesyuarat penyelarasan pembangunan kilang makanan ternakan antara agensi kerajaan di Kota Darulnaim.
Sebelum ini Kelantan merancang untuk membina sebuah kilang makanan ternakan bagi memenuhi keperluan tempatan dan negeri-negeri di bawah Kerajaan Empat Negeri (SG4) iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Parlis.
Program tersebut di bawah Kluster Pertanian dan Sekuriti Makanan.
Tuan Mohd Saripudin berkata, setiap negeri SG4 mempunyai peranan dan kemampuan masing-masing yang boleh disumbang bagi memperkasakan lagi industri makanan haiwan ternak.



0 Comments