Oleh Salmah Mat Husain |
TUMPAT: Projek
ternakan udang putih di Pantai Geting mencatat perkembangan positif apabila
menghasilkan kira-kira 1.5 tan bagi setiap pusingan ternakan.
Projek tersebut dikendalikan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK) dengan kerjasama syarikat FZ Farm, memiliki 30 kolam.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, projek tersebut kini memasuki pusingan ketiga ternakan, hampir mencapai kapasiti maksimum pengeluaran.
Katanya, permintaan udang putih sangat tinggi dan sehingga sekarang permintaan di pasaran tempatan belum mencukupi.
“Kerajaan negeri bercadang memperluaskan kawasan ternakan daripada tiga ekar kepada tujuh ekar,” katanya ketika mengadakan lawatan ke projek berkenaan semalam.
Hadir Ketua Pegawai Eksekutif PKPNK, Nik Razak Nik Hassan dan pegawai Jabatan Perikanan.
Tuan Mohd Saripudin juga berkata, peluasan kawasan itu dijangka dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi menyokong agenda keterjaminan makanan negeri serta memperkukuh industri akuakultur tempatan.
Menurutnya lokasi ternakan tersebut turut dijadikan pusat latihan untuk golongan belia dan usahawan muda yang berminat dalam bidang akuakultur.
Katanya juga pengusaha projek memiliki pengalaman luas dalam industri penternakan akuakultur.
“Projek ternakan udang putih di Pantai Geting mampu menjadi pemangkin pembangunan industri agromakanan negeri serta membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat,” ujarnya.
Bagaimanapun mereka yang berminat perlu mempelajari ilmu berkaitan terlebih dahulu agar tidak berlaku kerugian akibat tiada ilmu.
Beliau juga berkata, projek ternakan udang berskala besar di Tok Bali dibangun kerajaan negeri menerusi kerjasama antara PKINK dan syarikat swasta.
“Kerajaan negeri menggalakkan lebih ramai pengusaha baharu menyertai industri ini, namun mereka perlu mempunyai ilmu dan latihan mencukupi,” katanya.




0 Comments