Ternakan udang putih perkukuh industri akuakultur

Oleh Salmah Mat Husain |

TUMPAT: Projek ternakan udang putih di Pantai Geting dan Tok Bali antara fokus utama kerajaan negeri dalam usaha memperkukuh industri akuakultur di Kelantan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan, Nik Razak Nik Hassan berkata, projek di Pantai Geting diusahakan menerusi kerjasama dengan syarikat FZ Farm.

Manakala projek di Tok Bali melibatkan kerjasama antara Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dengan sebuah syarikat swasta.

“Kedua-dua projek tersebut mempunyai potensi besar untuk terus dikembangkan bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat.

“Perbadanan Kemajuan Pertanian memantau projek di Pantai Geting sejak awal dan setiap minggu pegawai dihantar bagi memastikan operasi ternakan berjalan lancar,” katanya selepas melawat projek tersebut semalam.

Hadir sama anggota Exco Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail dan pegawai Jabatan Perikanan.

Nik Razak berkata, industri ternakan udang putih mampu menjadi sumber ekonomi baharu dan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan terutamanya golongan belia.

Menurutnya juga pembangunan industri akuakultur memerlukan pengurusan teliti khususnya melibatkan sistem air, oksigen dan penyelenggaraan kolam bagi memastikan hasil ternakan berkualiti.

Sementara itu pengusaha projek ternakan udang putih Pantai Geting, Zainal Abidin Derani, 63, berkata projek berkenaan kini mempunyai 32 sangkar utama dan 10 kolam asuhan benih melibatkan pelaburan hampir RM500,000.

Katanya, projek tersebut bermula dengan dua pekerja kini bertambah kepada lapan orang bagi menguruskan penjagaan air, oksigen, elektrik dan makanan.

“Setiap kolam boleh menghasilkan kira-kira 350 kilogram udang dan dijual sekitar RM25 sekilogram,” katanya.

Menurutnya, penternakan udang putih memerlukan ilmu dan pemantauan berterusan terutama aspek air, suhu, tahap pH dan oksigen bagi memastikan ternakan mencapai kualiti pasaran.

Zainal Abidin mempunyai pengalaman dalam bidang penternakan selama tujuh tahun lalu kerana pernah menternak ikan kerapu di Langkawi.

Menurutnya juga beliau berhasrat akan memperbanyakkan lagi jumlah kolam pemeliharaan udang memandangkan permintaan begitu tinggi.

Katanya bukan sahaja pemborong datang membeli udang, sebaliknya orang ramai datang untuk membeli udang segar.


 

 

Post a Comment

0 Comments