Kes berkaitan dadah di Kelantan menurun

KOTA BHARU: Kelantan merekodkan trend penurunan kes dan tangkapan berkaitan dadah berdasar data dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kelantan.

Data yang dibentang menunjukkan kadar kes bagi setiap 100,000 penduduk di Kelantan mencatatkan penurunan dan berada antara negeri terbaik selepas Selangor dan Kedah.

Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Kelantan, Zamakhshari Muhamad bagaimanapun berkata, terdapat sedikit perbezaan statistik PDRM dan AADK yang dibangkitkan pada mesyuarat sebelum ini.

Katanya, PDRM lebih tertumpu aspek penguatkuasaan dan hukuman, manakala AADK pula memberi fokus penguatkuasaan serta rawatan serta pemulihan.

“PDRM turut mengambil kira kes pemilikan dadah, sementara AADK lebih menumpu kepada penyalahgunaan dan penagihan dadah, manakala kes pengedaran berada di bawah bidang kuasa PDRM,” katanya di sini baru-baru ini.

Menurutnya juga program yang dilaksanakan PEMADAM lebih menjurus kepada usaha meningkatkan kesedaran masyarakat termasuk dalam kalangan ibu bapa dan pelajar mengenai bahaya dadah.

Kata beliau fokus utama PEMADAM mengurangkan jumlah penagih baharu dan ia mulai menunjukkan perkembangan positif.

“Data yang dibentang menunjukkan berlaku pengurangan dalam jumlah penagih baharu dan ini memberi petunjuk program kesedaran yang dilaksanakan memberi kesan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan cabaran berkaitan penyalahgunaan dadah semakin rumit kerana kegiatan pengedaran dilakukan secara lebih sofistikated menerusi platform atas talian serta menggunakan perkhidmatan ejen penghantaran.

Zamakhshari juga berkata, kerajaan negeri menyalur geran sebanyak RM30,000 kepada penyelidik dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) bagi menjalankan kajian berkaitan pengesanan penggunaan dadah jenis baharu melalui sampel darah.

Kata beliau kajian berkenaan penting berikutan teknologi sedia ada tidak mampu mengesan beberapa jenis dadah baharu yang disalahgunakan.

“Sebagai contoh, individu yang menggunakan dadah jenis ‘mushroom’ sukar dikesan sebelum ini, namun menerusi kajian saintifik tersebut, penggunaan bahan itu boleh dikenal pasti,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri berkata, usaha itu diharap dapat membantu agensi penguat kuasa menangani penyalahgunaan dadah moden yang semakin kompleks.

 

 

Post a Comment

0 Comments