Pusat membeli-belah di Kelantan ditutup hari pertama Aidiladha


Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Semua kompleks membeli-belah, pasar raya dan pasar raya besar di Kelantan ditutup sepenuhnya pada hari pertama Hari Raya Aidiladha bagi memberi peluang pekerja menunaikan solat sunat Aidiladha serta melaksanakan ibadah korban.

Timbalan Menteri Besar Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, langkah sama sebelum ini turut dilaksanakan ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, premis makanan segera dan kedai serbaneka termasuk 7-Eleven, Mydin, Family Mart serta premis seumpamanya hanya dibenarkan beroperasi selepas jam 1.30 tengah hari pada hari pertama Hari Raya Aidiladha.

“Keputusan ini sama seperti yang diputuskan sempena Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco di Kota Darul Naim, di sini semalam.

Menurutnya, kerajaan negeri mahu memastikan pekerja sektor perniagaan mendapat ruang sewajarnya untuk menunaikan tuntutan agama dan bersama keluarga pada hari kebesaran Islam itu.

Kata beliau langkah tersebut sebagai usaha memastikan kebajikan pekerja sektor perniagaan terus diberi perhatian khususnya pada sambutan hari kebesaran Islam.

Post a Comment

0 Comments