Kadar jenayah indeks di Kelantan rendah

 
Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Kelantan mencatat kadar jenayah indeks lebih rendah berbanding negeri lain biarpun berlaku peningkatan kes pembunuhan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, keadaan itu menunjukkan pendekatan pentadbiran berteraskan agama memberi kesan positif terhadap kawalan jenayah.

“Kelantan adalah negeri beragama, sebab itu kadar jenayah kita masih rendah berbanding negeri lain. Pendekatan itu akan terus diperkasakan melalui pelbagai agensi kerajaan.

“Tetapi peningkatan seperti disebut pihak polis memang mendukacitakan,” katanya selepas mesyuarat Exco di Kota Darul Naim, di sini hari ini.

Baru-baru ini Ketua Polis Kelantan, Dato’ Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata, sebanyak lima kes bunuh direkodkan di negeri itu setakat Mei lepas berbanding hanya satu kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Dr Mohamed Fadzli berkata, kerajaan negeri memandang serius peningkatan kes pembunuhan seperti yang dilaporkan pihak polis.

Menurutnya kerajaan negeri akan terus memperkukuh kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi keselamatan bagi membendung peningkatan jenayah.

“Kerajaan berharap semua pihak termasuk ibu bapa, pemimpin masyarakat dan agensi berkaitan supaya bersama-sama membanteras jenayah,” katanya.

 

Post a Comment

0 Comments