KOTA BHARU: Da’i nusantara Prof Dr Ustaz Abdul Somad berkunjung lagi ke Kelantan, dan kali ini orang ramai berpeluang mengikuti pidatonya di Tumpat dan Rantau Panjang.
Di Tumpat program Pidato Perdana Da’i Nusantara akan diadakan di Pantai Sri Tujuh pada 14 Mei ini bermula jam 6.30 petang.
Program terbabit bermula dengan solat hajat dan munajat serta kuliah Maghrib yang akan disampaikan pendakwah bebas Ustaz Mokhtar Yaakob.
Selain itu menampilkan pidato pimpinan dan tausiyah khas akan disampaikan Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud dan bekas Menteri Besar, Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob.
Turut ditampilkan Timbalan Menteri Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan dan anggota Exco Dato’ Wan Roslan Wan Hamat.
Manakala kuliah perdana di Masjid Beijing pula akan diadakan pada 15 Mei bermula jam 8.30 pagi.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Pesta Wau Kebangsaan Kelantan kali ke-43 akan diadakan Pantai Irama, Bachok pada 20 hingga 23 Mei 2026.
Pesta itu akan disertai peserta dari 10 negara termausk Thailand, Amerika Syarikat, China, Brunei Darussalam, Filipina dan Macao.
Orang ramai berpeluang melihat aksi wau gergasi, wau bulan dan pelbagai lagi melayang di udara. Sempena Pesta Wau Kebangsaan juga akan diadakan Pertandingan Mewarna Paling Ceria pada jam 2 petang, 22 Mei melibatkan murid darjah satu, dua dan tiga.
Pada 23 Mei pula pertandingan melukis kategori tahap 2 terbuka kepada murid darjah empat, lima dan enam bertempat di pentas utama Pantai Irama. Hadiah menarik menanti pemenang.
Turut dianjurkan pertandingan Memasak Adabi Paling Power! pada 22 Mei bertempat di pentas utama Pantai Irama, yang terbuka kepada semua.



0 Comments