PAS Johor gerak seluruh jentera hadapi PRN16

JOHOR BAHRU: PAS Johor telah memulakan persiapan awal serta menggerakkan seluruh jentera parti di semua peringkat bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 tidak lama lagi.

Pesuruhjaya PAS Johor, Dato’ Dr Mahfodz Mohamed berkata, PAS negeri itu akan melangkah ke medan PRN Johor ke-16 selaras dengan ketetapan yang diputuskan PAS Pusat.

“PAS Johor mengambil maklum pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor oleh Menteri Besar yang diperkenan Pemangku Sultan Johor bagi memberi laluan kepada PRN Johor ke-16,” katanya pada kenyataan semalam.

Semalam Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran Dun Johor selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.

Menurutnya pembubaran itu dibuat bagi memberi laluan kepada proses demokrasi bagi memastikan rakyat Johor terus memiliki kerajaan stabil dan kukuh.

PRN Johor sebelum ini Barisan Nasional (BN) menang di 40 kerusi Dewan Undangan Negeri, Pakatan Harapan (PH) 12 kerusi, dan Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi.

Pada PRN tersebut PAS menang kerusi tunggal di Dun Maharani  melalui Abdul Aziz Talib menewaskan calon Nor Hayati Bachok dari Pakatan Harapan dan Noor Farah Shamsudin (Barisan Nasional). 

Dr Mahfodz berkata, PAS Johor menghormati proses demokrasi dan sistem Raja Berperlembagaan yang menjadi asas kepada perjalanan pentadbiran negeri dan negara.

Oleh itu, PAS Johor menyeru seluruh rakyat Johor menunaikan hak mengundi dengan penuh tanggungjawab serta bersama-sama memelihara suasana yang aman, harmoni dan sejahtera sepanjang proses pilihan raya berlangsung.

 

 

 

Post a Comment

0 Comments