Mufti rasmi muktamar PAS di Pondok Bunut Payong

 
Oleh Aslani M |

KOTA BHARU: Biarpun PAS bertapak di Kelantan bermula di Pasir Mas pada tahun 1953, namun perkembangan parti itu lebih pesat selepas cawangan Kota Bharu ditubuh setahun kemudian.

PAS Cawangan Kota Bharu secara rasmi ditubuh pada 19 November 1954 hasil usaha Mohd Asri Muda dengan dibantu Haji Mohd Daud Salleh dan Ishak Lotfi Omar.

Dan usaha mengembangkan PAS di Kota Bharu lebih rancak selepas pengasas Pondok Bunut Payong, Tuan Guru Haji Abdullah Tahir Ahmad menyertai PAS.

Pondok Bunut Payong juga pernah menjadi lokasi muktamar agung tahunan PAS pada 26 hingga 28 Disember 1955. Mesyuarat itu dirasmikan Mufti Kerajaan Kelantan Dato’ Ahmad Maher.

Rakaman sejarah tersebut kini disimpan di Galeri Arkib PAS Kota Bharu bertempat di tingkat satu, Pejabat PAS Kota Bharu di Berek 12.

Selain dokumen sejarah, galeri terbabit juga menempatkan mesin taip lama, kamera, foto-foto  pimpinan PAS Kota Bharu, fail, dokumen, poster kronologi sejarah penubuhan PAS di Kelantan dan pelbagai lagi. 

Malah, PAS Kota Bharu muncul sebagai pemenang pertama reruai (booth) pameran sempena sambutan ulangtahun ke-70 PAS Kelantan yang diadakan pada 24 Oktober lepas.

Pengerusi Galeri Arkib PAS Kota Bharu, Nasruddin Mahmod Muhaidin berkata, kejayaan memenangi tempat pertama pameran PAS Kelantan tahun lepas memberi semangat mewujudkan galeri khas yang menempatkan bahan-bahan bersejarah.

Katanya, usaha untuk mengumpulkan bahan-bahan sejarah yang ada kaitan dengan PAS Kota Bharu bukan sesuatu yang mudah.

“Ketika mengumpulkan bahan-bahan sejarah sempena sambutan ulangtahun PAS Kelantan ke-70, kami mendapat dorongan semangat daripada Yang Dipertua PAS kawasan, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan.

“Bermula dari situ selepas sambutan berakhir, kami tempatkan semula bahan-bahan sejarah tersebut di ruang khas,” katanya di sini hari ini.

Beliau ditemui pada lawatan kerja Pengerusi Jabatan Arkib PAS Kelantan, Haji Zulkifli Mamat. Hadir sama Penolong Setiausaha jabatan berkenaan, Mohd Zaim Asyraf Abdul Rashid dan petugas-petugas media PAS Kota Bharu.

Sementara itu Zulkifli berkata, Galeri Arkib PAS Kota Bharu dianggap sebagai model arkib PAS Kelantan kerana Kota Bharu sebagai pusat pentadbiran kerajaan negeri.

Kata beliau biarpun PAS bertapak di Kelantan bermula di Pasir Mas, namun penubuhan PAS di Kota Bharu menyemarakkan lagi perkembangan PAS di bumi Serambi Mekah.  

“Arkib PAS Kota Bharu disusun dalam keadaan baik, teratur dan begitu memuaskan. Dan ia boleh dijadikan contoh kepada Galeri Arkib PAS kawasan lain,” ujarnya.

Sempena kunjungan itu Zulkifli menyampaikan tiga naskhah buku ‘Tok Lebai Kemudi Negeri’ kepada Nasruddin bagi melengkapkan dokumen sejarah di galeri tersebut.

Semalam rombongan Arkib PAS Kelantan melawat Galeri PAS Pengkalan Chepa di Kompleks PAS Pengkalan Chepa. Lawatan kerja pertama bermula di Galeri Arkib PAS Tumpat pada Isnin lepas.

Post a Comment

0 Comments