KOTA BHARU: Hanya
kira-kira dua minggu lagi Kota Bharu sekali lagi akan menjadi tumpuan pendukung
PAS dari seluruh negara. Mereka akan menghadiri Muktamar PAS kali ke-72.
Muktamar tersebut akan diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) di Pengkalan Chepa pada 4 dan 5 September ini.
Muktamar kali ini agak berbeza memandangkan akan diadakan sambutan Jubli Intan PAS (75 tahun). Selain itu genap usia PUTIK menjangkau 25 tahun.
Pelbagai aktiviti dan program diadakan sepanjang muktamar berlangsung termasuk pameran sejarah PAS, agensi kerajaan, ekspo jualan, ceramah perdana dan pelbagai lagi.
Selain itu, konvoi motosikal melibatkan anak-anak muda dijangka memeriahkan sambutan berkenaan.
Begitu juga kemunculan tiga Menteri Besar Kerajaan Empat Negeri (SG4) iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah akan menarik perhatian ramai.
Tidak ketinggalan juga kemunculan pendakwah tersohor negara, Ustaz Azhar Idrus dijangka menarik lebih ramai pengunjung terutamanya anak-anak muda dan penduduk tempatan.
Bagaimanapun fokus utama perwakilan, pemerhati dan pendukung PAS dari seluruh negara pada 4 September iaitu ucaptama Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Agak kelainan muktamar tahun ini difahamkan akan diadakan persembahan lampu laser dijangka menghangatkan lagi muktamar PAS kali ke-72.
Persiapan lokasi berlangsung muktamar sedang giat dijalankan termasuk perubahan besar membabitkan bahagian dalam dewan dan landskap sekitar PUTIK.
Manakala sehari sebelum berlangsungnya muktamar di PUTIK, muktamar dan konvensyen peringkat dewan-dewan PAS akan diadakan di beberapa lokasi berasingan.
Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat akan berlangsung di Kelantan Trade Centre (KTC) dan Dewan Pemuda PAS Malaysia di Hotel Grand Riverview.
Konvensyen Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) pula akan diadakan di Crown Garden Hotel, manakala Dewan Assabiqun pula di Gelanggang Seni.
Baru-baru ini berlangsung beberapa siri mesyuarat Panatia Induk Muktamar yang dipengerusikan Setiausaha Agung PAS Dato’ Seri Takiyuddin Hassan.
Turut hadir Pengarah Panatia, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan; Timbalan-timbalan Pengarah Panatia, Khairul Faizi Ahmad Kamil, Dato' Wan Roslan Wan Hamat, Ustaz Mohd Asri Daud dan Dato’ Abdullah Yakub.




0 Comments