Perjuangan tegak syariah melalui demokrasi

 

KOTA BHARU: Sejak runtuhnya Khilafah Othmaniyah pada tahun 1924, umat Islam di seluruh dunia kehilangan institusi politik yang selama berabad-abad menjadi payung kepada pelaksanaan syariah.

Adun Pasir Tumboh, Dato’ Abdul Rahman Yunus berkata, selepas itu dunia Islam memasuki era negara bangsa moden, sistem demokrasi dan perlembagaan yang berbeza antara sebuah negara.

Katanya, dalam suasana tersebut, perjuangan menegakkan syariah tidak lagi melalui institusi khalifah, sebaliknya menggunakan wadah demokrasi, pendidikan, dakwah, pembinaan masyarakat dan proses perundangan.

“Dalam konteks Malaysia, perjuangan memartabatkan syariah mesti dilakukan melalui saluran demokrasi, menghormati Perlembagaan Persekutuan, menggunakan kuasa yang diberi kepada Dewan Undangan Negeri.

“Inilah pendekatan yang dipilih kerajaan negeri,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Syariah di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan hari ini.

Sebelum itu RUU tersebut dibentang Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Abdul Rahman berkata, dalam konteks negeri Kelantan, titik perubahan penting berlaku pada tahun 1990 apabila pentadbiran negeri memperkenalkan dasar Membangun Bersama Islam. 

Menurutnya sebagai kerangka pentadbiran, berdasar kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Basirah, dasar itu dibangunkan dengan meletakkan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber utama dalam pentadbiran.

“Kajian tersebut menjelaskan bahawa pembangunan yang dirancang bukan sekadar berorientasikan pertumbuhan ekonomi, bahkan bertujuan membentuk masyarakat yang seimbang dari sudut kerohanian, akhlak, sosial dan pentadbiran.

“Konsep yang sama turut menghuraikan bahawa maqasid syariah menjadi salah satu asas penting dalam memahami dasar tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata, pemeliharaan agama, nyawa, akal, harta dan keturunan dijadikan kerangka umum dalam menilai sesuatu dasar serta pelaksanaannya dalam masyarakat.

 

 

Post a Comment

0 Comments