KOTA BHARU: Kelantan merupakan negeri ketiga terbesar di Semenangjung Malaysia memiliki kawasan berhutan, kata Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.
Katanya, Kelantan
sehingga sekarang berjaya mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan berhutan,
selaras dengan Dasar Perhutanan Negara.
“Kawasan berhutan di Kelantan sekarang seluas 778,783 hektar,” katanya menjawab soalan Zuraidin Abdullah (PAS-Chetok) pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini.
Menurutnya juga hutan diurus dengan terancang termasuk Jabatan Perhutanan melaksanakan strategi mengenal pasti tanah kerjaaan untuk diwartakan sebagai kawasan hutan simpan kekal (HSK).
Selain itu, menjalankan program pemulihan hutan melalui program penghijauan dan membanteras penerokaan secara haram.
Menjawab soalan tambahan Zuraidin, Menteri Besar berkata, kerajaan negeri mengambil pendekatan seimbang antara pengawalan hutan dan penjanaan ekonomi dengan melaksanakan pembangunan secara mampan.
“Kawasan HSK diurus secara mapan bagi memastikan aktiviti pembalakan dilaksanakan secara terkawal untuk mengelakkan kerosakan ekosistem hutan.
“Selain itu pelbagai program ekonomi berasaskan hutan dilaksanakan termasuk sektor pelancongan, penanaman semula hutan secara berterusan dan program penghijauan Malaysia. Program terbabit melibatkan agensi kerajaan, swasta dan masyarakat setempat,” ujarnya.
Menjawab soalan tambahan Ku Mohd Zaki Ku Hussin (PAS-Dabong), Menteri Besar berkata, kerajaan negeri memanfaatkan teknologi terkini untuk mengawal kawasan hutan simpan.



0 Comments