Pengiktirafan menerusi Anugerah Tokoh Wanita dan Srikandi Perjuangan PAS itu diberi sebagai penghargaan terhadap khidmat berterusan kepada parti dan masyarakat.
Beliau dilahirkan pada 12 Oktober 1963 dan berasal dari Rantau Panjang, mempunyai pengalaman panjang dalam kepimpinan politik termasuk sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat serta Ahli Dewan Negara.
Siti Zailah berada dalam kepimpinan Dewan Muslimat Kelantan sejak 1984 bermula sebagai ahli jawatankuasa Dewan Muslimat Negeri dan diberi amanah sebagai ketua mulai tahun 2002 sehingga sekarang.
Selaku AJK PAS Pusat yang menggalas taklif sebagai Pengerusi Lajnah Pembangunan Insan dan Kerukunan Keluarga PAS Pusat, pemimpin berjiwa rakyat itu mesra disapa sebagai 'Kak Lah'.
Beliau mula berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Rantau Panjang bermula 2008 sekali gus menjadikan kawasan sempadan Malaysia-Thailand itu antara medan utama khidmat masyarakatnya sepanjang hampir dua dekad sebagai wakil rakyat.
Pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dari 2020 hingga 2022.
Sepanjang tempoh berkenaan, penglibatannya dalam pembangunan wanita, keluarga serta kebajikan masyarakat memperluaskan lagi ruang khidmatnya daripada parti kepada pentadbiran negara.
Siti Zailah dikenali ramai melalui kegiatan kebajikan dan bantuan bencana khususnya menerusi penglibatan bersama Khidmat Malaysia. Beliau pernah dilantik Pengerusi Khidmat Malaysia (2021-2023).
Sementara itu Anugerah Tokoh Ulama pula diberi kepada pengasas Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas, Allahyarham Tuan Guru Abdullah.
Tokoh Veteran PAS dianugerah kepada bekas Pesuruhjaya PAS Sabah, Aminuddin Aling. Tokoh Veteran juga diberi kepada bekas Adun Jeli, Yusof Yaacob dan bekas Ahli Parlimen Rantau Panjang, Abdul Fatah Harun.
Manakala Tokoh Masyarakat dan Pejuang PAS Sabah dianugerah kepada bekas pimpinan PAS Sabah, Allahyarham Mohd Rahimin Mustapa yang berasal dari Machang, Kelantan.


0 Comments