KOTA BHARU: Kerjasama PAS dengan parti-parti Melayu wajar diteruskan sama ada melalui konsep taawun atau pemuafakatan lain bagi memastikan undi Melayu tidak berpecah.
Perwakilan dari Kelantan, Ustaz Mohd Asri Mat Daud berkata, kerjasama politik begitu penting bagi membentuk kekuatan dalam politik di negara ini.
Katanya, PAS sejak awal lagi menjalin kerjasama politik dengan parti-parti lain ketika menghadapi pilihan raya.
“PAS mengadakan kerjasama dengan Perikatan pada 1973 dan pada pilihan raya umum (PRU) 1974 PAS pernah bertanding menggunakan tiket Barisan Nasional (BN).
“Dan pada tahun 1989 kerjasama atas tiket Angkatan Perpaduan Ummah dengan Semangat 46, Berjasa dan Hamim,” katanya ketika menyokong ucapan dasar Presiden sempena muktamar tahunan PAS kali ke-72 di PUTIK petang ini.
Kemudian kerjasama diteruskan dengan PKR dan DAP pada 1998 dengan membentuk Pakatan Rakyat dan PAS berjaya memenangi 27 kerusi parlimen pada PRU 1999.
Mohd Asri yang juga Ketua Penerangan PAS Kelantan berkata, kerjasama diteruskan lagi ketika menghadapi PRU 2022 di bawah jenama Perikatan Nasional (PN) di mana PAS menjalin kerjasama dengan Bersatu.
Menurutnya hasil kerjasama sejak dahulu sehingga sekarang membolehkan PAS mentadbir kerajaan negeri di Kelantan sejak tahun 1959.
“PAS menguasai Kelantan sejak 1959 bagi sesi pertama dan siri kedua 1990 sehingga sekarang. PAS mengekalkan dasar Membangun Bersama Islam (MBI) sejak 1990 sekarang,” ujarnya.
Perwakilan dari Negeri Sembilan, Haji Kamarol Riduan Mohd Zain pula berkata, PAS melalui PN berjaya meraih kemenangan hasil kerjasama parti lain di negeri sasaran seperti yang berlaku di Negeri Sembilan baru-baru ini.
Sedangkan katanya usaha untuk mencapai kemenangan di Negeri Sembilan bukan perkara mudah kerana negeri itu dianggap bukan negeri PAS.
“Negeri Sembilan sebuah negeri majmuk yang dianggap tanah keras bagi PAS sebelum ini. Namun hasil penyatuan ummah yang benar-benar dilaksanakan telah membuahkan hasil pada PRN Negeri Sembilan 1 Ogos lepas.
“Manakala Pahang pula sudah ada angka yang cukup untuk membolehkan dibentuk kerajaan cuma sekarang menunggu masa untuk mengulangi apa yang berlaku di negeri Sembilan,” ujarnya.
Begitu juga Melaka kerana sejarahnya bersambung dengan adat yang terdapat di Negeri Sembilan. PRN Melaka akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.
Beliau juga berkata, Selangor juga sudah disiapkan pelan tindakan sebagai persiapan awal untuk mentadbir semula negeri itu pada PRU akan datang.



0 Comments