IPOH: Perikatan Nasional (PN) Sungai Siput merakam ucapan takziah kepada keluarga seorang penduduk Orang Asli yang meninggal dunia dipercayai akibat dibaham harimau semalam.
Pimpinan Parti Pejuang Tanah Air Parlimen Sungai Siput Perak, Ahmad Fauzi Jaafar berkata, mangsa dilapor diserang harimau belang di Kampung Takung, Pos Perwor, Sungai Siput.
Katanya, insiden tersebut amat memilukan dan pastinya meninggalkan kesan yang mendalam kepada keluarga serta masyarakat tempatan.
“Kami mendoakan agar semua ahli keluarga mangsa dikurniakan ketabahan, kekuatan dan kesabaran yang tinggi dalam menempuhi ujian serta dugaan yang amat berat ini.
“Kami juga merakamkan ucapan penghargaan kepada seluruh anggota polis, Perhilitan, RELA, dan penduduk yang bertungkus-lumus menyertai operasi mencari mangsa,” katanya pada catatan di laman sosialnya.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada kenyataan berkata, pihaknya menerima aduan kira-kira jam 4.30 petang semalam kejadian seorang lelaki Orang Asli dipercayai diserang harimau belang di Kampung Takung, Pos Perwor.
Katanya, mangsa seorang lelaki berusia 43 tahun ditemui di kawasan berhampiran jalan balak.
“Pemerhatian awal turut mendapati terdapat kesan pergelutan di lokasi. Jarak antara lokasi kesan pergelutan dengan tempat penemuan mangsa kira-kira 200 meter,” katanya pada kenyataan.
Sehubungan itu, Perhilitan
mengambil tindakan segera dengan melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan di
kawasan kejadian termasuk mengenal pasti tanda-tanda kehadiran harimau belang.
Katanya Perhilitan mendapatkan maklumat daripada penduduk setempat dan mengambil langkah pemasangan perangkap di kawasan yang dikenal pasti sesuai.
Menurutnya juga keselamatan penduduk diberi perhatian serius dan Perhilitan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), PDRM, Pihak Berkuasa Negeri serta komuniti memastikan langkah pengurusan konflik manusia-hidupan liar dapat dilaksanakan.
“Perhilitan menasihatkan penduduk di kawasan berhampiran supaya meningkatkan tahap kewaspadaan dan mengelakkan memasuki kawasan hutan atau kawasan yang dikenal pasti mempunyai tanda-tanda kehadiran harimau belang secara bersendirian.
“Sekiranya terdapat tanda-tanda kehadiran harimau belang orang awam dinasihat supaya tidak menghampiri lokasi tersebut dan segera melaporkan kepada Perhilitan melalui talian 1-800-88-5151,” ujarnya.
Sementara itu anggota Exco Kerajaan Perak, Dato' Mohd Zolkafly Harun berkata, beliau menerima berita mengenai kematian seorang penduduk Orang Asli, Allahyarham Zamberi Angah akibat diserang harimau belang di Kampung Takung, Pos Perwor.
Kata beliau difahamkan kejadian berlaku ketika Allahyarham sedang mencari rotan di kawasan hutan bersama seorang rakannya.
“Perhilitan menerima aduan mengenai kejadian tersebut kemudian bergegas ke lokasi dan bertemu dengan anak mangsa. Operasi pencarian bersama bermula jam 6.30 petang melibatkan Perhilitan, anggota polis Balai Polis Lintang, RELA, kira-kira 30 penduduk serta pekerja balak.
“Pada jam 6.58 petang, mangsa ditemui di kawasan rumpun buluh berhampiran jalan balak, kira-kira 200 meter dari lokasi dipercayai berlaku serangan. Kesan tapak harimau belang serta beberapa petunjuk lain turut ditemukan di sekitar lokasi,” ujarnya.





0 Comments