Oleh Norzana Razaly |
KOTA BHARU: PAS mengemukakan Wawasan Induk Negara Sejahtera
2051 (WINS 2051) sebagai pelan induk jangka panjang bagi merealisasikan konsep
Negara Berkebajikan menerusi kerangka bernegara berteraskan Islam.
Presidennya, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata,
WINS 2051 dirangka sebagai panduan menyeluruh dalam pentadbiran, penggubalan
dasar dan pembangunan negara yang akan dilaksanakan secara berfasa sehingga
tahun 2051.
Menurutnya, pemilihan tahun 2051 mempunyai signifikan tersendiri
kerana menandakan genap satu abad penubuhan PAS sejak tahun 1951.
“Pemilihan tahun 2051 mempunyai makna yang tersendiri kerana
menandakan satu abad penubuhan PAS sejak tahun 1951 dan bersempena muktamar
pada tahun ini kita mengadakan Sambutan 75 Tahun PAS,” katanya pada ucapan
dasar sempena Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah
Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Tuan Guru Abdul Hadi berkata, pelaksanaan WINS 2051
dibahagikan kepada tiga fasa utama dengan setiap peringkat mempunyai matlamat
pembangunan negara yang tersendiri.
Katanya, Fasa 1 Pemulihan Negara memberikan penekanan kepada
usaha menyelesaikan permasalahan utama negara sebagai asas kepada pembinaan
sistem pentadbiran dan pembangunan yang lebih kukuh.
Usaha itu kemudiannya diteruskan menerusi Fasa 2 dengan
sasaran mengangkat Malaysia sebagai ‘Negara Model’ sebelum memasuki Fasa 3 yang
bermatlamat memposisikan Malaysia sebagai ‘Negara Memimpin’ di peringkat
antarabangsa.
Katanya lagi, WINS 2051 akan terus dikemas kini dalam tempoh terdekat dengan pelan tindakan lebih terperinci serta penanda aras yang jelas bagi membolehkan setiap tahap pencapaiannya diukur secara sistematik.
PAS juga akan bekerjasama dengan golongan ilmuwan,
profesional dan teknokrat dalam proses penambahbaikan wawasan berkenaan selain
mengenal pasti pendekatan terbaik bagi pelaksanaannya selepas Pilihan Raya Umum
Ke-16 (PRU-16).
Pada masa sama, Tuan Guru Abdul Hadi berkata pendekatan
perancangan jangka panjang turut diterjemahkan di negeri-negeri melalui
beberapa dokumen strategik yang berfungsi sebagai panduan tadbir urus dan
pembangunan.
Antaranya ialah Dokumen Induk Penghayatan Membangun Bersama
Islam (PMBI) di Kelantan, Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) di
Terengganu dan Pelan Strategik The Greater Kedah di Kedah.
Selain itu, Pelan Strategik Ekonomi dan Pembangunan Insan
untuk Selangor Mampan (EHSAN) turut diperkenalkan sebagai antara kerangka
terbaharu bagi merancang pembangunan jangka panjang di peringkat negeri.

0 Comments