
KOTA BHARU: Kolej
Teknologi Darulnaim (KTD) mengambil pendekatan collaborative excellence dengan
membina jaringan serta strategi bersama universiti, industri, badan profesional
dan komuniti.
Usaha itu dilakukan bagi memastikan ilmu yang digabungkan sentiasa relevan dengan keperluan semasa.
Pengarah EQ Resources Sdn Bhd, Dr Abdullah Sudin Abdul Rahman berkata, KTD bukan sekadar mahu menghasilkan graduan yang memperolehi pekerjaan, sebaliknya mampu mencipta pekerjaan melalui keusahawanan.
Katanya juga dalam era kecerdasan buatan, manusia masih mempunyai kelebihan yang tidak mampu digantikan oleh mesin, iaitu hati yang dipandu oleh iman, akal dipandu hikmah.
“Kecanggihan teknologi perlu bergerak seiring dengan usaha melahirkan graduan yang memiliki nilai kemanusiaan, keimanan dan akhlak,” katanya pada Majlis Konvokesyen KTD di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji semalam.
Perasmian konvokesyen itu disempurnakan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, Dato' Wan Roslan Wan Hamat.
Hadir sama Ketua Eksekutif KTD, Dr Nik Kamaruzaman Abdull Latiff serta Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan KTD.
KTD menawarkan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Diploma Reka Bentuk Multimedia, Diploma Pengurusan Perniagaan, Diploma Syariah serta Diploma Pengajian al-Quran dan al-Sunnah.
Program diploma tersebut diiktiraf Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan diakreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Dr Abdullah turut berpesan kepada graduan supaya membawa nama baik institusi, mengamalkan ilmu yang diperoleh serta menjadi insan memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.
Sementara itu Wan Roslan berkata, perkembangan teknologi semakin pesat menuntut graduan mempunyai prinsip dan nilai yang kukuh agar ilmu serta kepakaran dimiliki digunakan secara bertanggungjawab.
“Dunia tidak hanya memerlukan orang yang berilmu semata-mata tetapi dunia memerlukan orang berilmu yang boleh dipercayai. Dunia tidak hanya memerlukan orang pintar tetapi orang pintar yang mempunyai hati dan prinsip,” katanya.



0 Comments