KUALA LUMPUR: Perdana Menteri (PM) mengakui isu buli di sekolah sekarang lebih parah berbanding dahulu, biar pun perkara serupa pernah berlaku sebelum ini.

Sedangkan kata Dato’ Seri Anwar Ibrahim, segala usaha sudah dilakukan kerajaan bagi membendung masalah tersebut termasuk polis dibenar masuk ke sekolah pada bila-bila masa.

Selain itu 400 warden dilatih, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), penambahan guru bimbingan dan kaunseling serta pelantikan pembantu warden asrama.

"Kerajaan memperuntukkan RM3 juta untuk pemasangan CCTV di sekolah dan RM5 juta di asrama. Tahun hadapan sebanyak RM15 juta lagi diperuntuk melibatkan 1,000 sekolah.

"Sebanyak 5,107 jawatan Guru Bimbingan dan Kaunseling baharu diwujudkan serta pelantikan 300 Pembantu Warden Asrama melalui program MySTEP," katanya menjawab soalan Dato’ Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) di parlimen semalam.

Sebelum itu Saifuddin memberitahu sudah acap kali pembangkang membangkitkan isu buli di sekolah, namun tidak nampak secara jelas tindakan diambil pihak kementerian.

Anwar juga tidak mahu kes buli dan penderaan di sekolah disembunyikan dengan alasan mahu menjaga imej atau prestasi sesebuah institusi.

Menurutnya juga rekod setakat ini sejumlah 5,681 kes buli dilaporkan berlaku di sekolah seluruh negara dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.