KOTA BHARU: Bekas Pengarah Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-Kekwa), Zainiah Halim, 62, kini terlantar sakit selepas diserang strok kali ketiga.
Sebelum ini beliau pernah mengalami serangan strok pada 2018 dan 2022, namun kedua-duanya hanya melibatkan gejala ringan.
Suaminya, Azman Mat Dahan berkata, serangan kali ini lebih serius sehingga menjejaskan ingatan Zainiah.
“Dua kali sebelum ini, isteri saya kena strok ringan sahaja, tetapi kali ini agak kritikal sehingga menjejaskan ingatannya,” kata beliau pada kunjungan Adun Bunut Payong, Shaari Mat Yaman di rumahnya di Kubang Kerian semalam.
Hadir sama isteri Adun, Aida Suzana Ibrahim dan petugas Pusat Khidmat Dun bunut Payong.
Zainiah pernah terbabit aktif dalam kepimpinan Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan dan kawasan Kota Bharu.
Azman yang juga bekas Pengarah Pengurusan Korporat Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), kini sepenuh masa menjaga isterinya.
Menurut beliau, isterinya turut mengalami masalah kesihatan lain, termasuk penyakit diabetis dan darah tinggi yang memerlukan pemantauan serta penjagaan berterusan.
Sementara itu, Shaari berharap Azman dan keluarga bersabar menempuh dugaan tersebut.
“Saya mendoakan agar Zainiah diberi kesembuhan, dipermudahkan segala urusan rawatan dan pemulihan serta dikurniakan kekuatan kepada keluarga,” ujarnya.


0 Comments