Perkenal geran pentadbiran kelab sukan aktif

 
KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang memperkenalkan geran pentadbiran kelab sukan aktif bagi membantu persatuan sukan di peringkat akar umbi mencungkil bakat-bakat muda.

Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, geran kecil tahunan diberi kepada kelab sukan yang berdaftar dan patuh kepada Akta 576.

Katanya, kelab terbabit perlu dipastikan mengadakan mesyuarat agung tahunan dan mengemuka laporan aktiviti untuk memastikan perlembagaannya selaras dengan akta dan peraturan.

“Ini pelaburan untuk masa hadapan. Dana tersebut boleh digunakan untuk membayar yuran gabungan, insurans pemain, membeli peralatan asas, pengangkutan ke lokasi pertandingan dan kos pentadbiran.

“Selain itu sistem penarafan kelab boleh diwujudkan terhadap kelab yang aktif dan lengkap,” katanya ketika membahas Rang Undang-Undang Pembangunan Sukan Pindaan 2026 di Dewan Rakyat petang semalam.

Menurutnya, apabila organisasi sukan diberi sokongan pentadbiran secara konsisten, ia mampu berkembang dengan lebih tersusun.

Contohnya Majlis Belia yang yang menerima sokongan dan dana pentadbiran melalui Majlis Belia Malaysia.

Kata beliau juga kelab perlu memohon dan bersaing dengan kelab-kelab lain di peringkat negeri.

“Kelab profesional tidak sama dengan kelab kampung. Kelab negeri tidak sama dengan kelab daerah. Kelab yang mempunyai penaja korporat tidak sama dengan kelab yang dikendalikan guru, pesara, belia dan sukarelawan kampung.

“Sukan di Malaysia bermula di padang kampung seperti di Kuala Krai, gelanggang, sekolah, padang daerah dan kelab kecil yang dibina atas semangat sukarela,” ujarnya.  

Abdul Latiff turut mencadangkan supaya pendaftaran kelab baharu dipermudah bagi membolehkan lebih ramai anak muda menyertai kegiatan sukan.

Beliau juga mahu pendekatan lebih seimbang melibatkan aspek penguatkuasaan dan pemerkasaan.

“Jadikan undang-undang tersebut sebagai jambatan untuk membawa kelab akar umbi ke peringkat lebih tinggi,” tambahnya.

Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli pula mencadang kerajaan mewujudkan sebuah Muzium Sukan Negara yang bersifat interaktif dilengkapi pusat dokumentasi, pendidikan, penyelidikan dan pemeliharaan legasi sukan.

Katanya, muzium berkenaan boleh menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda untuk mengenali perjuangan atlet terdahulu dan membina masa depan sukan negara.

Menurut beliau, pembangunan muzium berasaskan tiga dimensi utama iaitu sejarah masa lalu, realiti semasa dan visi masa hadapan.

Katanya kewujudan muzium tersebut mampu memberi pendedahan kepada kanak-kanak mengenai sejarah dan perkembangan sukan negara, sekali gus menyemai cita-cita untuk menjadi atlet pada masa hadapan.

“Mungkin seorang kanak-kanak yang mengunjungi muzium hari ini akan menjadi atlet dalam tempoh 20 atau 30 tahun akan datang sehingga mampu menyarung jersi negara,” katanya.

Wan Hassan turut menegaskan pembangunan sukan negara perlu meliputi pembangunan fizikal dan spiritual.

 

 

Post a Comment

0 Comments