ANAK SENI DISERU GUNA POULARITI, AJAK PEMINAT KEPADA ISLAM – DATO' SITI ZAILAH
KOTA BHARU – Penyandang taklif Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff menyeru anak seni Kelantan memanfaatkan bakat anugerah Allah dengan mengajak peminat mereka supaya bersyukur dan kembali kepada ajaran Islam.
Menurutnya, anak seni ialah golongan paling mudah meraih pahala dengan berbuat baik dan mengajak orang lain menyebarkan kebaikan menggunakan pengaruh dan populariti sama ada secara fizikal mahu pun di media sosial.
"Manusia sekarang suka ikut selebriti. Oleh itu, peluang terbuka luas untuk anak seni menggunakan pengaruh mereka dengan cara positif sambil menjaga batas syariat.
Gunakanlah neraca ilmu, akhlak dan rasional dengan memanfaatkan bidang seni untuk kebaikan.
Sebarkan yang baik supaya menjadi sebab orang lain juga berbuat baik kerana Rasulullah SAW bersabda "sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat kepada manusia lain," katanya ketika merasmikan Majlis Malam Apresiasi Penggiat Seni Wanita Kelantan 2022 di Hotel Grand Riverview, pada 22 Oktober.
Tambahnya, Kelantan bertuah kerana wanita Kelantan sangat istimewa kerana ada pakej lengkap iaitu cantik, cerdik, berbakat dan mahir. Oleh itu, alangkah baik, jika apa juga yang kita buat, pastikan kita jaga agama, negeri dan keluarga untuk selamat di dunia dan akhirat.
Dalam majlis yang sama, Isteri Pengerusi EXCO Perpaduan Kaum, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Datin Nor Asikin Ahmad berpesan para penggiat seni wanita Kelantan mesti terus memartabatkan seni budaya dan warisan Kelantan ke persada dunia dengan sentiasa menjaga kesopanan wanita Timur yang patuh shariah sebagaimana keterampilan tokoh yang pilih pada majlis tersebut.
Lima tokoh seni wanita Kelantan yang dirai ialah Kelthom Hussin (Che Minah Songket) yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ikon Seni Kraf Kelantan dan almarhumah Khatijah Awang yang diwakili warisnya menerima trofi Anugerah Jasamu Dikenang manakala Anugerah Ikon Anak Seni Kelantan pula dijulang oleh Rosemaria Abdul Hamid.
Turut diraikan, penerima Anugerah Ikon Influencer Kelantan, Catriona Norhayati Ross Bahrin dan Datuk Wan Noraafiza Dato' Ariffin yang meraih Anugerah Ikon Legenda Kelantan.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran isteri YAB Menteri Besar Kelantan merangkap Yang Di-Pertua PURNAMA, Datin Bentara Kanan Siti Zabidah Abdul Hamid, isteri YB Dato' Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan Datin Rowiyah Ghazali dan Pengerusi Puspanita Negeri Kelantan Datin Kaya Setia Dr Wan Nazariah Wan Hassan.
Ikuti berita dalam Buletin Darulnaim.
#ViraliyatBerita4ptg


(Feed generated with FetchRSS) ...
-Baca seterusnya...
2022-10-25 08:00:05
#semasa
#semasa
0 Comments