Oleh Salmah Mat Husain |
KOTA BHARU: Aset bernilai
RM4.2 juta dirampas dalam operasi penguatkuasaan bersepadu membanteras perlombongan
haram di Galas, Gua Musang dengan kerjasama beberapa agensi penguat kuasa.
Operasi yang diadakan pada 13 Julai lalu diketuai Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG).
Agensi lain termasuk Bahagian Penguatkuasaan Negeri Kelantan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Perhutanan Negeri, Jabatan Alam Sekitar serta Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia.
Hasil operasi terbabit tiga warga asing ditahan kerana disyaki menjalankan aktiviti perlombongan emas secara haram.
Turut dirampas pelbagai jentera dan peralatan melibatkan dua excavator, dua jentolak, tiga lori, sebuah dumper, sebuah generator elektrik, sebuah palong besi serta 20 unit karpet.
Timbalan Menteri Besar Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, siasatan akan diperluaskan bagi mengenal pasti dalang sebenar termasuk pemodal, penganjur, orang tengah, penyedia jentera serta mana-mana pihak yang bersubahat.
Katanya, tindakan undang-undang akan diambil tanpa mengira kedudukan atau pengaruh sekiranya mereka didapati melakukan kesalahan.
“Kerajaan negeri akan membuka kertas siasatan dan menjalan siasatan menyeluruh termasuk pemeriksaan di lapangan, pengumpulan bahan bukti serta memanggil saksi sebelum pendakwaan dilakukan terhadap semua pihak yang terlibat.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti perlombongan tanpa lesen atau kelulusan yang sah mengikut Enakmen Mineral (Kelantan) 2001," katanya pada kenyataan semalam.
Sehubungan itu kata beliau sebarang kegiatan perlombongan emas secara haram tidak akan dikompromi kerana menjejaskan pengurusan sumber mineral, merosakkan alam sekitar serta menghakis hasil negeri dan rakyat.
Dr Mohamed Fadzli turut berharap orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan perlombongan emas haram menyalurkan info kepada pihak berkuasa.

0 Comments