
SEREMBAN: Dewan
Ulamak PAS Pusat yakin persefahaman yang terjalin melibatkan
parti-parti Melayu-Islam bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri
Sembilan boleh diaplikasi sehingga ke peringkat nasional.
Ketua Penerangannya, Dato' Mohd Nor Hamzah berkata, kerjasama itu penting demi maslahat dan kepentingan rakyat bagi menolak pihak yang gagal dalam urus tadbir dan lemah tatakelola menguruskan negara serta memelihara kebajikan rakyat.
Katanya, Dewan Ulamak PAS Pusat menyambut baik dan menyokong penuh langkah kesepakatan yang dibina bermula di Negeri Sembilan.
“Muafakat tersebut merupakan perkembangan yang amat positif dalam usaha menjayakan agenda besar Penyatuan Ummah di negara ini.
“Keadaan politik orang Melayu-Islam yang semakin terancam mendesak supaya kuasa politik dipertahankan. Adalah menjadi kewajipan buat semua parti berteraskan Melayu dan Islam untuk mengetepikan perbezaan dan bersatu padu,” katanya pada kenyataan.
PRN Negeri Sembilan menyaksikan tidak berlaku pertembungan antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di 36 kerusi di negeri itu.
BN bertanding di 25 kerusi, manakala 11 lagi ditandingi PN yang diwakili PAS, Wawasan, Gerakan dan MIPP.
Mohd Nor juga berkata, kebelakangan ini timbul pelbagai isu yang meresahkan dan membimbangkan urat nadi umat Islam.
Kata beliau umat Islam wajib mengambil iktibar daripada peringatan Allah SWT mengenai bahaya perpecahan dan kesan membiarkan musuh saling bersekutu.
“Bagi memastikan usaha ini mendapat keberkatan dan keampunan serta redha Allah SWT, kesepakatan perlu didasari dengan keikhlasan yang hakiki semua pihak.
“Matlamat utama untuk memelihara kuasa politik orang Melayu-Islam daripada diancam kepupusan yang akhirnya akan merugikan seluruh pihak dan generasi akan datang,” ujarnya.
Sehubungan itu beliau mengajak seluruh orang Melayu-Islam khususnya pengundi di Negeri Sembilan menyokong penuh usaha murni tersebut.
Katanya, tanpa dokongan dan undi daripada rakyat, gagasan penyatuan tersebut tidak akan berhasil diterjemahkan ke dalam bentuk kuasa pemerintahan.
“Pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera mengutamakan kebenaran, keadilan dan perpaduan perlu terus subur dan dipertahankan.
“Marilah kita bersama-sama berdoa agar Allah SWT mempermudahkan urusan dan memenangkan perjuangan Islam,” tambahnya.



0 Comments