Ticker

6/recent/ticker-posts

ILTIZAM PERTINGKAT PRESTASI CEMERLANG PENGGAL LALU – USTAZ FADHLI SHAARI



ILTIZAM PERTINGKAT PRESTASI CEMERLANG PENGGAL LALU – USTAZ FADHLI SHAARI

oleh Norzana Razaly

PASIR MAS - Calon PAS Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari beriltizam terus mempertingkatkan prestasi kecemerlangannya pada penggal lalu dan memperkemas hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan bagi membela nasib rakyat Pasir Mas sekiranya beliau kekal diberi mandat menyandang kerusi yang didudukinya.

Hafiz al-Quran muda yang profesional, dinamik dan berwibawa itu menyifatkan kemenangan semua calon Perikatan Nasional (PN) di Kelantan dan majoriti di negeri lain dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah pelengkap perkara asas dalam kehidupan rakyat di Kelantan khasnya dan di Malaysia amnya.

Katanya, selain keperluan asas untuk hidup seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal, rakyat Kelantan juga berkehendak kepada kemudahan asas yang baik untuk keselesaan menjalani kehidupan mereka seperti bekalan air bersih, pendidikan, peluang kerjaya, fasiliti kesihatan mental, emosi dan fizikal serta prasarana lain yang bersifat pelbagai fungsi dan menyeluruh.

Bagi memenuhi kriteria itu, rakyat perlu menyerahkan tanggungjawab kepada pemimpin calon PN yang prihatin, berintergriti dan matang bertindak.

"Apabila ramai menteri dan timbalan menteri dalam kalangan anggota PN, sudah tentu mereka melepasi piawaian positif yang ditetapkan. Jadi, sekatan peruntukan yang sepatutnya Kelantan dapat, boleh disalurkan segera kerana isu penganaktirian tak akan berlaku seperti yang pernah rakyat Kelantan hadapi lebih 30 tahun lalu.

Semangat federalisme membolehkan peluang suntikan dana lebih terbuka luas untuk kita bawa balik projek-projek mega berimpak tinggi ke negeri Kelantan, khususnya di Pasir Mas. Apatah lagi, jika Kelantan dibayar royalti.
Buktinya, tahun lalu saya berjaya mendapatkan peruntukan RM65 juta bagi projek pembinaan tebatan sungai di Kampung Pohon Celagi yang runtuh dalam tempoh cepat kerana Menteri Alam Sekitar dan Air ialah dari komponen PN iaitu PAS," katanya.

Tambahnya, kejayaan besar itu baru dicapainya dalam waktu satu penggal. Projek tebatan sungai tersebut sudah pun siap 97 peratus dan akan diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam masa terdekat.

Anak jati Kampung Padang Embun, Tendong itu menjelaskan rinci, pencapaian pembinaan secara berterusan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok (Kesban) sedang berjalan rancak.

"Ikhtiar kita menghalang banjir melalui PLSB. Projek tersebut mampu menghalang air Sungai Golok masuk ke Meranti yang sebahagiannya akan turut tenggelam adalah kawasan Pasir Mas," hurainya apabila ditanya berkenaan pelan beliau dalam menghadapi bencana banjir pada tahun ini.

Khusus untuk anak muda pula, beliau merancang pelan penambahbaikan aspek peluang kerjaya dalam bidang keusahawanan produk hiliran berasaskan agro tani yang dipercayai berpotensi besar menghasilkan pendapatan lumayan.

Ustaz Fadhli juga memaklumkan bilangan pondok yang banyak di Pasir Mas seperti di Lubuk Tapak, Meranti, Gelang Mas dan Bunut Susu, ditambah pula golongan asnaf dan B40 yang dikenal pasti amat signifikan dengan perancangan kerajaan negeri mahu menjadikan Pasir Mas sebagai pengeluar produk makanan melalui IKS.

"Kita giat berusaha menjadikan Pasir Mas bakal muncul sebagai destinasi popular pilihan pelabur. Usaha ke arah itu sudah kita mulakan dengan membantu komuniti NGO membangunkan rumah cendawan pintar berteknologi moden di DUN Meranti. Dana pembelian jentera pertanian di DUN Tendong juga sudah banyak disalurkan. Begitu juga sumbangan pembelian peralatan memproses makanan sejuk beku di DUN Pengkalan Pasir.

Seterusnya kita akan intergrasikan produk yang mereka hasil untuk dijual secara pukal kepada usahawan belia yang akan menjualnya secara runcit kepada pembeli akhir," jelasnya.

Beliau menerangkan semua bantuan yang disalurkan itu adalah hasil usahanya bersama pasukan kerja mengadakan perbincangan serta menemui pelbagai pihak sama ada di peringkat kementerian dan kerajaan negeri demi penduduk di Pasir Mas.

Tambahnya, usaha membangunkan infrastruktur kebudayaan dan rekreasi di tengah-tengah bandar Pasir Mas bagi menghidupkan semula aktiviti perniagaan di lokasi berhampiran juga sedang dirancang teliti.

Contohnya membina jajaran pelancongan Menyusuri Lorong Kenangan (memory lane) bermula dari Stesen KTM ke Dataran Air Muleh yang berpotensi untuk ditambah nilai menjadi pusat komersial berorientasikan budaya apabila dibina prasarana kesenian bersambung dengan Plaza Serakai Mas dan Dewan Pasir Mas serta Stadium Mini. Lebih-lebih lagi tahun 2024, Kelantan menjadi tuan rumah SUKMA.

"Kita juga merancang untuk mengembalikan nostalgia menaiki keretapi Pasir Mas ke Ulu Kelantan atau menyewa perahu penambang di Pengkalan Feri dan membina mercu tanda ikonik di lokasi asal-usul penemuan Pasir Mas oleh peneroka jajahan ini iaitu Che Leh Tok Pendekar.

Ekopelancongan pesisir sungai juga dalam perancangan, dengan membina infrastruktur jalan air untuk peminat beriadah mengikuti aksi sukan seperti menaik taraf litar motosikal lasak di Kampung Paloh, Tendong yang berseberangan dengan pusat komersial Lembah Sireh di Kota Bharu. Projek ini juga boleh mengelakkan kesesakan trafik di jalan raya," ujarnya.

Menariknya, sudah lama beliau bercita-cita menjadikan Pasir Mas muncul sebagai hab pendidikan dengan mempelawa mana-mana universiti utama di Malaysia membuka cawangan di jajahan yang bersempadan dengan Thailand itu.

Katanya, memandangkan di Pasir Mas ada tanah luas milik Majlis Amanah Rakyat (Mara), amatlah sesuai digunakan untuk pembangunan institusi pendidikan tinggi di Pasir Mas seperti wujudnya Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Bachok, Jeli, dan Pengkalan Chepa begitu juga Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Machang.

Beliau percaya semua pelan tersebut dapat dilaksanakan dengan sokongan satu undi pada petak "bulan" daripada setiap seorang daripada rakyat Pasir Mas yang bakal menzahirkan hak mereka esok.

"Kita akan sama-sama melaksanakan pembangunan di Pasir Mas yang seimbang dari segi rohani dan jasmani," tekadnya.

Mengakhiri sesi wawancara, Ustaz Fadhli Shaari mengucapkan selamat mengundi kepada semua pemilih Malaysia yang berdaftar.

Serunya kepada seluruh rakyat Pasir Mas yang bakal menunaikan hak memilih pada 19 November agar memberikan beliau satu undi untuk sama-sama merealisasikan Pasir Mas Maju, Rakyat Sejahtera.





(Feed generated with FetchRSS) ...
-Baca seterusnya...
2022-11-18 04:35:03

#semasa

#semasa

Post a Comment

0 Comments