Oleh Tuan Arjuna Beta |
PASIR MAS:
Penduduk di Meranti akan memiliki sebuah medan usahawan moden yang sistematik,
selesa dan kondusif bagi menempatkan peniaga sedia ada serta usahawan baharu.
Ketika ini, seramai 93 peniaga pasar pagi yang berdaftar dengan Majlis Daerah Pasir Mas menjalankan perniagaan di tapak sementara dengan menggunakan khemah di tepi jalan.
Medan Usahawan Kota Meranti akan merangkumi 34 unit ruang perniagaan yang terdiri daripada enam unit zon kering, enam unit zon separa kering, 12 unit zon basah serta 10 unit bagi kategori lain-lain, serta sebuah pejabat.
Projek berkenaan turut menyediakan dataran seluas 377 meter persegi, 100 petak pasar pagi atau pasar malam, kawasan hijau, rumah sampah, kemudahan utiliti serta tempat letak kenderaan merangkumi 186 petak kereta dan 39 petak motosikal.
Kemudahan tersebut akan memberi manfaat kepada 34 usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan 100 usahawan tani untuk menjana pendapatan.
Tapak pasar pagi dan malam yang dilengkapi 100 petak juga akan memberi peluang kepada peniaga sedia ada untuk menjalankan aktiviti perniagaan dalam persekitaran lebih selamat, bersih dan tersusun.
Pembangunan itu turut merangkumi bangunan medan usahawan, surau, tandas, rumah sampah dan rumah pam.
Projek Pembinaan Medan Usahawan Kota Meranti akan diluncurkan oleh Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud, pada Sabtu ini.
Majlis Solat Hajat dan Peluncuran Medan Usahawan Kota Meranti itu akan diadakan di tapak projek berkenaan di Mukim Meranti, Daerah Kubang Gadong.
Dijangka hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feissal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Dato' Sr. Zamri Ismail.
Projek yang dicadangkan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) itu dilaksanakan PKINK melibatkan kos kira-kira RM9.5 juta.
Pembinaan Medan Usahawan Kota Meranti dijangka merubah Pekan Meranti sebagai pusat pertumbuhan baharu di Pasir Mas.




0 Comments