JASIN: “Kalau sungguh mahu berjaya, pastikan muafakat kita utamakan,” kata Pengerusi Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berada di Jasin, Melaka ketika Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka dibubar semalam. Pembubaran itu bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 diadakan dalam masa terdekat.
Katanya, pembubaran Dun Melaka yang diumumkan Ketua Menteri, Dato’ Seri Ab Rauf Yusoh selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam.
“Hari ini asam pedas di Jasin... dan Dun Melaka bubar. Alhamdulillah. Bawa kawan-kawan makan asam pedas ikan pari di Jasin,” katanya pada catatan di laman sosialnya.
Beliau menikmati hidangan asam pedas ikan pari bersama rakan-rakan di daerah berkenaan.
Pada sidang media khas semalam Ab Rauf memberitahu rundingan politik dijangka diadakan di antara Umno dan parti-parti politik menjelang PRN Melaka ke-16 tidak lama lagi.
Menurutnya Umno akan menilai perbincangan tawaran-tawaran yang diberikan parti berkenaan.
Sebelum ini Ab Rauf yang juga Pengerusi BN Melaka menegaskan BN tetap akan mempertahankan 21 kerusi Dun yang dimenangi pada PRN lalu.
Pada PRN 2021 BN memenangi 21 daripada 28 kerusi Dun, manakala Pakatan Harapan (PH) lima kerusi dan Perikatan Nasional (2).
Bagaimanapun Annuar berharap agenda muafakat menjadi keutamaan bagi menghadapi PRN terbabit.
“Kalau roboh Kota Melaka, papan di Jawa kita dirikan, kalau sungguh mahu berjaya, pastikan muafakat kita utamakan,” kata Annuar.




0 Comments